Ahad, Mac 27, 2011

GTP lakar banyak kejayaan, tingkat taraf hidup rakyat: Najib




GTP lakar banyak kejayaan, tingkat taraf hidup rakyat: Najib


2011/03/27

KUALA LUMPUR: Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diterajui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) melakar banyak kejayaan pertama yang belum pernah diraih selain telah meningkatkan taraf kehidupaan jutaan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata setelah berlalunya tempoh setahun pelaksanaan GTP, kerajaan telah meneroka ufuk yang baharu dan kini berada di ambang kejayaan yang lebih besar lagi. 

"Bagaimanapun, kita juga menyedari bahawa kemenangan belum dapat diisytiharkan selagi matlamat kita untuk menjadi sebuah negara maju masih belum tercapai," katanya dalam perutusan perdana di dalam Laporan Tahunan GTP 2010 yang diterbitkan JPM.

Justeru, Najib berkata kerajaan akan terus berusaha dengan menetapkan sasaran yang lebih tinggi untuk bergerak maju ke hadapan.

Beliau berkata, GTP telah memperlihatkan kejayaan yang ketara dalam semua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan apa yang penting dalam pencapaian tahun pertama GTP ini ialah ia telah membawa bersama-sama dengannya angin perubahan yang telah melanda keseluruhan jentera kerajaan.

"Ia telah menyalakan minat dan kesungguhan yang baharu dalam kalangan kakitangan awam serta memberikan cabaran kepada mereka yang lain untuk merealisasikan potensi penuh mereka dan melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat," katanya.

Najib berkata, kebanyakan sasaran yang ditetapkan di bawah GTP adalah besar dan ia dibentuk melalui proses usaha sama antara kumpulan cerdik pandai terbaik dalam sektor kerajaan dan swasta.
Beliau berkata, dalam usaha memenuhi hasrat rakyat, terbukti bahawa kerajaan sentiasa beriltizam untuk melakukan yang terbaik bagi menyampaikan hasil yang positif.

"Kejayaan yang telah dicapai ini juga telah diakui oleh pihak ketiga yang terkenal dan bebas, termasuk pakar-pakar antarabangsa yang berwibawa daripada organisasi bereputasi baik.

"Pengesahan dan keyakinan yang diberikan oleh mereka mengukuhkan lagi usaha kita dalam tempoh setahun ini," katanya.

Najib berkata, meskipun GTP tidak sunyi daripada kesangsian dan kritikan segelintir pihak, namun rakyat sendiri yang lebih layak menghakimi prestasi dan kemajuan yang telah dicapai oleh kerajaan.

"Kita percaya bahawa dokumen Laporan Tahunan GTP yang pertama ini menjadi bukti yang menunjukkan betapa kerajaan Malaysia gigih berkhidmat untuk rakyat dan memacu usaha yang banyak bagi membawa perubahan kepada negara kita," katanya.

Najib berkata, sebagaimana yang dijanjikan, keseluruhan prestasi GTP dan NKRA untuk 2010 telah disiarkan untuk tatapan umum tanpa sebarang prasangka.

Beliau berkata, bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan kerajaan berhasrat untuk berkongsi segala kisahnya dengan pihak berkepentingan sama ada ia berkaitan dengan kejayaan, kekurangan, rintangan mahupun pengajaran bermakna yang telah dipelajari sepanjang proses tersebut.

Najib berkata, beliau yakin bahawa Pelan Hala Tuju GTP, NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berasaskan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) untuk memacu pertumbuhan ekonomi pada hakikatnya, telah berada pada landasan terbaik untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020.

"Tidak dinafikan bahawa perjalanan pada masa hadapan akan lebih mencabar, malah mungkin mengatasi cabaran yang telah dihadapi pada tahun lalu, namun kita mampu, malah bersedia dan berkesanggupan untuk memikul tugas menjuarai usaha membawa hasil yang ketara lagi bermakna kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, GTP akan terus mengenal pasti dengan jitu masalah sebenar dan menyampaikan penyelesaian yang ketara yang bertujuan mentransformasikan negara yang tercinta ini dan memberikan impak kepada rakyat tanpa mengira siapa, apa dan di mana jua mereka berada.

"Dalam kita mengorak langkah yang gagah ke hadapan bersama-sama sebagai negara yang bersatu, saya ingin memberikan kepastian di sini bahawa tiada seorang pun warga Malaysia yang akan diabaikan atau dibiarkan ketinggalan," katanya.

Laporan tahunan pertama GTP itu membuat penilaian terhadap semua yang berlaku pada Tahun 1-Fasa 1 (2010-2012) GTP yang menonjolkan banyak kejayaan dicapai selain juga kelemahan yang ada, pengajaran penting yang telah dipelajari dan langkah seterusnya yang perlu diambil untuk mencapai Wawasan 2020. - BERNAMA

Tiada ulasan: