Isnin, Mac 21, 2011

Istana Kelantan kesal jual anugerah.. SANGGUP KORBAN RM150,000.00 DEMI ANUGERAH.,..

SUMBER
Rizal Tahir   
KOTA BHARU, 21 Mac: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, memandang berat dan dukacita terhadap tindakan pihak tertentu di negeri ini yang mengurniakan darjah kebesaran kepada individu dengan sewenang-wenangnya.

Sedangkan sebarang anugerah darjah-darjah kebesaran atau gelaran hanya boleh diperkenankan oleh Sultan Kelantan sahaja  sebagaimana mengikut Perkara 43 (1) Undang-Undang Perlembagaanm Tubuh Kerajaan (Bahagian Yang Kedua).

Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed berkata, kegiatan jual anugerah itu dilakukan sebuah pertubuhan yang mengurniakan pelbagai anugerah, termasuk gelaran 'Datuk' kepada individu di dalam dan luar Kelantan.
Katanya lagi, tindakan itu bukan sahaja telah  melanggar Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bahkan menderhaka kepada Sultan Kelantan, di samping melanggar undang-undang negara.

Katanya, pertubuhan itu bukan sahaja tidak berkelayakan mengurniakan sebarang anugerah, sebaliknya pendaftaran pertubuhan itu juga telah dibatalkan  pada 10 Januari lalu.

Katanya, pertubuhan itu telah  memberikan 'darjah kebesaran Kelantan' kepada 120 penerima, mulai tahun lalu.

“Saya difahamkan untuk mendapatkan gelaran ada penerima sanggup membayar sehingga RM150,000 dan pertubuhan itu mengadakan majlis penganugerahan di sebuah hotel di sini,” katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di sini, semalam.
Hadir sama, Pengelola Istana Diraja, Datuk Ahmad Mahmood dan Ketua Istiadat, Datuk Abdul Halim Hamad.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan pertubuhan terbabit mengurniakan lebih 100 anugerah kebesaran dalam satu majlis di sebuah bangunan di Pasir Mas.

Menurutnya, pihak Istana Kelantan membuat tiga laporan polis, satu di balai polis Pasir Mas dan dua di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri, Jumaat lalu, dan difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengambil tindakan terhadap pihak terbabit.:

Pada sidang akhbar sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner, Lai Yong Heng berkata, polis mengambil keterangan daripada mereka yang terbabit pada majlis penganugerahan darjah berkenaan.

Sehubungan itu, Shukri menasihati masyarakat seluruhnya agar tidak membabitkan diri lagi pada program sedemikian bagi mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingin berlaku.

Tiada ulasan: