Selasa, September 29, 2009

Respon Artikel Ini : Ahli Pas Yang Tidak Berserban Dilantik Menjadi MB, Isu Juga???


>> dari sinarharian.com.my
Keadaan dahsyat dan kacau di Malaysia

Seorang teman berkata kepada saya, dekad ini ialah dekad serba dahsyat di Malaysia. Dia bertanya: Saudara bersetuju atau tidak? Saya terpaksa berfikir agak panjang. Jawapan saya: Dekad ini dekad yang tidak begitu dahsyat di Malaysia, jika dibandingkan dengan dekad 1960-an. Barangkali itulah yang betul, tetapi adakah dalam dekad-dekad selepas 1960-an itu semuanya berjalan lancar?

Saya mengajaknya berbicara ringkas tentang dekad-dekad yang lepas, hingga ke dekad ini.
Dalam dekad 1960-an, berlaku peristiwa 13 Mei. Itulah peristiwa dahsyat. Selain peristiwa itu, yang berlaku hanyalah peristiwa kacau, dan bukan peristiwa dahsyat. Dalam dekad 1970-an, Pas dan beberapa parti politik lain menyertai Barisan Nasional, dan kemudian dikeluarkan sebelum dekad itu berakhir. Ketika masuk bagus, ketika keluar kacau, atau sekadar ‘agak’ kacau.

Dalam dekad 1980-an, berlaku perbalahan perlembagaan yang membabitkan istana, dan kemudian, berkaitan dengan peristiwa lain, UMNO diharamkan, dan Tengku Razaleigh bergerak selaku Presiden Semangat 46. Tun Musa Hitam yang akrab dengan Tun Dr Mahathir telah menyertai kumpulan Tengku Razaleigh, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu Dr Mahathir. Peristiwa-peristiwa itu benar-benar kacau, namun tidak dahsyat.
Dalam dekad 1990-an, Anwar Ibrahim yang akrab dan membantu Dr Mahathir itu, telah dipecat daripada UMNO, dan beliau menghadapi tuduhan-tuduhan. Beliau kemudiannya dipenjarakan. Tumpuan terhadap Anwar kemudiannya berlebih-lebihan, hingga peristiwa kacau itu bertukar menjadi agak dahsyat. Jika dalam dekad 1980-an lahir Semangat 46, dalam dekad 1990-an pula lahir Parti Keadilan.

Dalam dekad 2000-an, Anwar memperoleh kebebasan. Beliau tidak seperti Musa Hitam dan Tengku Razaleigh, kerana beliau mempunyai kelebihan dalam mengatur demonstrasi. Lagipun, tidak wajar Anwar dibandingkan dengan Musa, kerana Musa sudah menyatakan rasa hatinya untuk tidak perlu menjadi Perdana Menteri. Musa mencari ketenangan, manakala Anwar tetap mengejar kemenangan.
Anwar kelihatan amat gigih, menyamai kegigihan Tengku Razaleigh pada dekad 1980-an. Bezanya, beliau bersedia memasuki penjara atau apa saja. Hasil peristiwa di sekitar Anwar, biarpun tidak menyamai 13 Mei, kita melihat sesuatu yang agak dahsyat. Di samping kedahsyatan, ada segi positif yang sesuai dipelajari. Anwar yang berpengalaman dalam UMNO dan Barisan Nasional, berupaya mengetuai Pas dan DAP sekali gus. Pembebasan beliau telah menyebabkan Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah jatuh ke tangan Pas, PKR, DAP, yang kemudiannya kita kenali sebagai Pakatan Rakyat.


Kemenangan satu pihak dalam pilihan raya ialah satu hal yang biasa, tidak kacau dan tidak dahsyat. Namun, yang berlaku di Perak agak menyulitkan. Punca utamanya satu, kemenangan Pakatan Rakyat ialah kemenangan kecil. Pakatan Rakyat yang sebenarnya bukan satu parti politik telah menubuhkan kerajaan, dan ahli Pas yang tidak berserban dilantik menjadi Menteri Besar. Pertelingkahan politik berlaku dari masa ke masa kerana kemenangan kecil itu, dan juga kerana hal-hal lain yang remeh-temeh.

Kerajaan Perak bertukar tangan daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional, dan berbagai-bagai tuduhan dikenakan Menteri Besar UMNO, kerana peralihan kuasa itu amat ringkas dan mengejutkan. Sebahagian orang lupa bahawa sebelum itu pihak Barisan Nasional sudah belajar daripada Anwar Ibrahim tentang cara-cara untuk mengambil kerajaan Malaysia daripada Barisan Nasional, iaitu melalui kaedah lompat parti. Anwar menetapkan 16 September sebagai tarikh seluruh kerajaan Malaysia jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, manakala secara diam-diam pihak Barisan Nasional mengambil Perak daripada Pakatan Rakyat. Peristiwa ini dapat dianggap satu tragedi-komedi, iaitu kesedihan yang lucu!

Bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak begitu kuat kini, sudah diketahui umum. Oleh sebab dirasakan demikian, maka Pakatan Rakyat, terutama Anwar yang pernah berada di tingkat tinggi dalam Barisan Nasional, terlalu cenderung melancarkan serangan agar segera menang. Tidaklah mereka boleh bersabar hingga diadakan pilihan raya yang seterusnya, iaitu yang ke-13. Hal ini munasabah, kerana apabila mereka memikirkan bahawa dalam politik segala-galanya boleh berubah. Ertinya, mereka berfikir, jika serangan ditangguhkan, musuh akan memperkuat diri. Jadi, keadaan kacau yang kita alami kini ialah hasil perkiraan demikian.

Dalam Barisan Nasional sendiri, terdapat keadaan kacau. Pada Oktober ini, satu pilihan raya kecil akan diadakan di Bagan Pinang. Tokoh di Bagan Pinang ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, iaitu orang kuat yang dapat dikira menyamai Anwar Ibrahim di Permatang Pauh. Isa tidak pernah melancarkan reformasi atau demonstrasi, jadi beliau tidak menjadi cukup popular seperti Anwar. Walaupun demikian, di tempat yang dimaksudkan ini, Ketua Bahagian Teluk Kemang itulah yang paling terkemuka. Memang betul, Isa pernah menjalani ‘hukuman’, namun ‘hukuman adik beradik’ dalam UMNO seharusnya tidak terlalu diheboh-hebohkan. Saya berpendapat, dalam hal ‘hukuman adik beradik’ begitu, yang dihukum tidak semestinya lebih buruk daripada yang tidak dihukum.

Pandangan yang sebegini tidaklah perlu diambil kira sangat. Lebih daripada itu, saya ingin menyatakan pandangan bahawa ‘hukuman’ itu telah pun berakhir, sudahpun berlalu, jadi rakyat tidak akan mengungkitnya lagi. Rakyat Malaysia, terutama kaum Melayu, mudah lupa, demikian kata Tun Dr Mahathir Mohammad beberapa tahun yang lepas. Oleh itu, bagi mengurangkan keadaan kacau, eloklah kata-kata Mohd Isa Abdul Samad diambil perhatian, “Kerja Presiden, biarlah Presiden yang buat.”






Tiada ulasan: