Jumaat, Disember 14, 2012

Mahkamah putuskan Utusan bersalah fitnah Karpal


Harakahdaily, 14 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mengarahkan akhbar Umno Utusan Malaysia membayar gantirugi dan kos sebanyak RM70,000 kepada Pengerusi DAP Karpal Singh.

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad memutuskan akhbar itu bersalah memfitnah Karpal dalam satu laporannya empat tahun lalu.

Laporan itu bertajuk 'DAP diingat jangan bakar perasaan Melayu' telah disiarkan pada 25 Ogos 2008 yang ditulis oleh Zulkifli Jalil yang kini merupakan pengarang berita akhbar tersebut.

Satu bahagian dalam tulisan berkenaan dipetik sebagai kenyataan Karpal walaupun peguam itu tidak hadir di acara tersebut.

Karpal yang memfailkan saman itu pada 19 September 2008, mendakwa akhbar itu memfitnah beliau melalui artikel bertajuk DAP diingat jangan bakar perasaan Melayu pada 25 Ogos tahun yang sama.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, keseluruhan kandungan artikel itu adalah palsu dan berniat jahat kerana ia tidak diucapkan oleh beliau ketika membuat ucapan pembukaan pada kongres itu.

Dakwanya, sepanjang keahliannya selama 26 tahun di Dewan Rakyat dan dalam ucapannya, beliau sentiasa menegaskan bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ini seperti dijamin di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan kebebasan menganut agama-agama lain.

Menurutnya, penerbitan artikel itu telah menjejaskan nama baik dan reputasinya secara peribadi, profesional dan politik.