Rabu, September 30, 2009

Lagi Bala Di Kelantan! Ribut Luar Biasa...

Remaja perempuan maut, 6 jajahan dilanda ribut luar biasa

KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan maut ditimpa pokok manakala ratusan rumah rosak teruk akibat dilanda ribut luar biasa dan hujan lebat hari ini berikutan hampirnya musim tengkujuh yang melibatkan tujuh jajahan di negeri ini yang berdekatan kawasan pantai.

Dalam kejadian selama hampir sejam itu, puluhan kereta rosak dan kemek akibat dahan-dahan pokok yang patah, barang-barangan ringan berterbangan termasuk kerusi dan tong sampah serta papan tanda jalan runtuh di sekitar bandar Kota Bharu, Pengkalan Kubor, Pasir Puteh, Kuala Krai, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok.

Kejadian ganjil yang pertama pada tahun ini, turut mengorbankan seorang remaja perempuan, Nurul Ain Ibrahim, 19, ditimpa sebatang pokok yang patah secara tiba-tiba ketika ia cuba mencari tempat berteduh daripada ribut di Pantai Kemayang, Bachok.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Saiful Bahari Mohd Nor berkata, mangsa berada di dalam kedai makan dan cuba untuk melarikan diri apabila ribut kuat melanda.

"Ketika kejadian kira-kira 3.40 petang tadi, mangsa sedang berselindung bersama teman lelakinya, Zamri Mustafa, 24, di sebuah kedai makan di pantai terbabit sebelum tiba-tiba ribut luar biasa melanda kawasan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Saiful Bahari berkata semua pelanggan di restoran itu lari bertempiaran menyelamatkan diri jauh dari kawasan kedai makan itu termasuk teman lelaki mangsa, bagaimanapun mangsa hanya lari dan berteduh berhampiran kawasan kedai terbabit.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya berlari mencari tempat berteduh yang lain setelah dipanggil teman lelakinya dan orang ramai supaya menjauhkan diri daripada kawasan kedai terbabit.

Menurut saksi, Siti Noor Ismail, 40, ketika pasangan itu cuba lari ke tempat lain sebatang pokok Ru patah dan menimpa mangsa.

"Orang di kedai saya lari arah lain, pasangan mangsa itu lari arah berlainan dan tiba-tiba pokok tumbang. Ia turut menimpa bahagian hadapan kedai saya dan mangsa dihempap pokok itu juga menyebabkan kecederaan parah di kepalanya dan meninggal di tempat kejadian," katanya.

Saiful Bahari berkata, mayat Nurul Ain dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Sementara itu, di Pantai Cahaya Bulan sebanyak 70 rumah rosak akibat bumbung tercabut akibat ribut.

Tinjauan Bernama mendapati banyak atap diterbangkan ribut menyebabkan keadaan di dalam rumah rosak besar dan kerosakan serius kepada peralatan elektrik.

Jurucakap polis berkata keadaan yang sama turut berlaku kepada puluhan rumah di Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh dan Rantau Panjang dan banyak rumah terjejas akibat atap-atap diterbangkan ribut dan ada yang terjejas akibat dihempap pokok.

Tinjauan juga mendapati ramai pengunjung restoran bertempiaran lari apabila perabot seperti kerusi diterbangkan ribut termasuk sampah sarap di jalanan di sekitar bandar Kota Bharu.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Othman berkata pihaknya menerima 45 laporan kes berhubung kejadian ribut itu termasuk pokok tumbang dan kecederaan.

"Kita menerima 11 kes kejadian pokok tumbang di Tumpat, 10 kes di Pengkalan Kubor, tujuh di Pasir Puteh, enam di Kuala Krai, manakala masing-masing empat kes di Ketereh dan Pasir Mas serta tiga kes di Bachok," katanya.

Beliau berkata hanya satu kematian diterima pihaknya iaitu di Bachok itu. - Bernama
---------------------------------

Negeri Kelantan Di Bawah Tok Guru pun tidak lari dari ujian/bala sebegitu.. Inikan pula negeri yang mana MB nya tak 'komitmen' hal agama ntah teruk lagi ujian/bala dari Allah..

Tiada ulasan: