Jawatankuasa pusat MCA hari ini meluluskan pindaan ke atas perlembagaan parti itu untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum dijalankan.
Pindaan ke atas Perkara 167 dalam perlembaan MCA itu juga menetapkan supaya penangguhan pemilihan parti tidak dibuat sehingga tempoh 36 bulan selepas pilihan raya umum terakhir dijalankan.
Keputusan itu membolehkan MCA menangguhkan serta merta pemilihan parti yang dijadualkan diadakan tahun ini.
Kelulusan itu dibuat melalui undian yang dijalankan dalam satu mesyuarat agung luar biasa parti itu pagi ini.
Sebanyak 99 peratus daripada seramai 1,844 daripada para perwakilan menyokong usul pindaan berkenaan dengan mengangkat tangan ketika pengundian dijalankan.
Usul berkenaan dicadangkan oleh setiausaha agung parti, Datuk Seri Kong Cho Ha dan disokong oleh timbalan presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Tumpu pilihan raya umum
Mengulas perkembangan itu, presidennya Datuk Seri Chua Soi Lek berkata, keputusan berkenaan menunjukkan bahawa para perwakilan jawatankuasa pusat telah bertindak secara matang.
"Mereka meletakkan kepentingan parti lebih tinggi daripada segala apa yang lain.
"Ini menunjukkan bahawa jawatankuasa pusat adalah matang (dalam politik)," kata Chua dalam satu sidang media selepas itu.
Mengulas lanjut, Chua berkata keputusan itu penting bagi membolehkan parti menumpukan kepada usaha untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.
"Pilihan raya umum adalah lebih penting daripada pemilihan parti," katanya lagi.
Sementara itu ketika ditanya mengenai kehadiran perwakilan yang hanya sebanyak 80 peratus, beliau berkata mesyuarat parti itu tidak pernah mencatatkan kehadiran 100 peratus.
"80 peratus adalah jumlah keluar mengundi yang baik," katanya yang turut menjelaskan bahawa perwakilan berkenaan tidak hadir atas pelbagai alasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan