Isnin, Ogos 31, 2009

INFO HUKUM SEBATAN MINUM ARAK DALAM ISLAM!

Menurut peruntukan Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, mahkamah mempunyai bidang kuasa menjatuhkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan, iaitu dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun dan disebat tidak melebihi 6 sebatan.

Kerajaan sepatutnya memberi perhatian dan menumpukan usaha ke arah memperbaiki infrastruktur, pentadbiran dan proses pelaksanaan Penghakiman Mahkamah Syariah, seperti ketiadaan tukang sebat Syariah, ketiadaan penjara khusus untuk menempatkan pesalah Syariah, ketiadaan panel rayuan di beberapa buah negeri dan sebagainya.

Telah 52 tahun negara merdeka dan telah 52 tahun Perlembagaan Persekutuan wujud, namun perkara-perkara ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan.

Mahkamah Syariah dianaktirikan sedangkan Mahkamah Syariah adalah tempat di mana orang Islam yang sebahagiannya mengundi kerajaan semasa pilihanraya, berurusan dan mengadu masalah rumahtanga, harta dan lain-lain.

Masalah ketiadaan tukang sebat bukanlah suatu isu yang besar kerana kerajaan boleh melatih tukang sebat sivil untuk melaksanakan sebat menurut syariah.

Kartika Sari adalah sebahagian masyarakat Islam yang menjadi mangsa akibat sikap anak tiri dan sikap kerajaan yang tidak sensitif dan tidak boleh dijangka terhadap kehendak dan keperluan masyarakat Islam di negara ini.

Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik dan segera, dengan memberi penjelasan kepada masyakarat bahawa:

Hukuman yang dijatuhkan ini adalah masih rendah berbanding hukuman sebenarnya menurut Hukum Syarak yang mana pesalah boleh dijatuhkan hukuman sehingga 40 sebatan hingga 80 sebatan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat.

Dalam Islam tidak ada beza antara pesalah lelaki dan wanita. Hak dan tanggungan mereka apabila melakukan kesalahan Syarak adalah sama di sisi Hukum Syarak dan di sisi Tuhan.

Golongan aktivitis wanita lantang memperjuangkan hak dan keistimewaan wanita dan kesamarataan taraf antara lelaki dan wanita. Mengapa dalam isu ini hendak dibezakan pula taraf antara lelaki dan wanita dari segi pelaksanaan hukuman jenayah? <<>

Pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Syariah amat berbeza dengan pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Sivil.

Enam kali sebatan menurut syariah tidak sama dengan hatta satu sebatan menurut undang-undang sivil. Alat sebatan yang digunakan untuk kes syariah hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas dua bulan dia melahirkan anaknya. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh pegawai kesihatan kerajaan. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran pegawai perubatan kerajaan.

Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Pesalah lelaki disebat berdiri, manakala perempuan dalam keadaan duduk. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

Pegawai perubatan kerajaan akan memperakukan sama ada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.


Artikel ini diterbitkan daripada kenyataan media Musa Awang, timbalan presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Tiada ulasan: