Khamis, September 02, 2010

Sejarah guru berpolitik dan cabaran masa kini, oleh Subky latif. Menarik bah tulisannya...


Subky Latif   

APA PUN kaum guru wajar diberi tahniah kerana hendak diberi semula hak bebas berpolitik seperti yang dijamin oleh perlembagaan negara.

Asalnya kaum guru itu dilahirkan sebagai seorang bebas untuk menentukan nasib dirinya iaitu bebas berpolitik sama seperti bebasnya mereka bersuara, berpersatuan dan bebas mendapat maklumat.

Dengan hak-hak yang dijamin oleh perlembagaan itu mereka mempelopori perjuangan menuntut kemerdekaan dari penjajah.
Kaum guru itu adalah meliputi para ulama yang membuka pondok dan sekolah agama rakyat serta yang mengajar di masjid dan surau. 

Kemudian guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah yang terdapat di seluruh negara – kota dan desa.

Apabila guru-guru itu berkumpul di Maktab Sultan Idris Tanjung Malim untuk mengikuti latihan guru, maka mereka yang datang dari seluruh Semenanjung dan Brunei mencetuskan semangat untuk membebaskan wilayah dari cengkaman penjajah Inggeris. Ia adalah lanjutan dari rangsangan yang tiupkan oleh para ulama yang berdakwah di tempat masing-masing.

Kombinasi para ustaz dan guru-guru ini yang mula merancakkan inginkan kemerdekakan. Guru-guru dan ustaz inilah yang menyahut pembentukan Kesatuan Melayu Muda oleh Ibrahim Yaakub, guru lepasan Tanjung Malim yang menjadi organisasi politik yang pertama.

Rancaknya KMM ini adalah disebabkan sambutan para guru yang ada di setiap tempat. Merekalah yang menjadi ketua dan setiausaha di mana saja kerana merekalah dikira pemimpin tempatan yang celik huruf dan ilmu pengetahun di kalangan masyarakat desa.

Dan apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya menyambung wadah KMM selepas Jepun, guru-guru dan ustaz juga yang menggerakkan parti kebangsaan yang lebih sempurna dari KMM itu. Apabila Umno dibentuk kemudiannya guru-guru dan ustaz juga ikut menghidupkannya.

Apabila PKMM diharamkan tahun 1948, Umno yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra selepas menggantikan Dato Onn tahun 1951, setengah dari ustaz dan guru dari PKMM menyertai Umno kerana Umno mengambil pendekatan baru menyambung perjuangan PKMM untuk mencapai kemerkekaan dari Inggeris.

Ibrahim Fikri dari Terengganu adalah ustaz PKMM yang menyertai Umno dan Ghafar Baba adalah guru Melayu PKMM yang menyertai Umno. Haji Ahmad Badawi dan Ustaz Haji Ahmad Maliki adalah antara ustaz Umno berjuang dalam pendidikan dan politik terlibat penuh masa dalam kedua-dua bidang secara serentak.

Sokongan guru-guru di setiap desa menghidupkan Umno sejurus sebelum merdeka dan beberapa ketika selepas mereka.  Sekalipun ustaz dan guru itu siang malam berpolitik tidak pula tugas pendidikan diabaikan. Kalau kebanyakan guru menghidupkan Umno, rata-rata PAS dari peringkat awal lagi dihidupkan oleh guru pondok dan ustaz.

Kalau banyak pondok dan sekolah agama rakyat tutup selepas kemerdekaan, bukan ia disebabkan ustaznya mengabaikan pendidikan di madrasah, tetapi dasar penindasan kerajaan selepas merdeka terhadap pengajian agama yang melumpuhkan institusi pengajian Islam itu.

Penyertaan guru-guru dalam politik di peringkat awal tidak melemahkan tugas pendidikan kerana matlamat politik para guru itu adalah untuk memajukan rakyat luar bandar dan di bandar dalam pendidikan  dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini.

Perjuangan guru-guru dalam politik inilah yang mempengaruhi Umno dan kerajaan sejurus selepas kemerdekaan bergerak mendaulatkan Bahasa Melayu dan memperjuangan sekelolah menengah kebangsaan dan mewujudkan universiti yang menggunakan bahasa Melayu sebagai penghantar.

Atas dolak dalik kerajaan yang tidak tegas dalam pelaksanaan bahasa dan mendaulatkan sekolah menengah Melayu mendorongkan guru-guru Melayu keluar Umno beramai-ramai menjelang pilihan raya umum  1959.

Tindakan guru-guru meninggalkan Umno itu memberi ruang kepada bukan guru menggantikan guru-guru Melayu sebagai pimpinan Umno di kampung-kampung. Berikutnya ramai guru-guru itu menyertai PAS.

Bagi mengelakkan guru-guru bersatu tenaga menyokong PAS dan menentang Umno, maka bermulalah larangan berpolitik bagi guru-guru. Mana-mana guru yang tidak menghiraukan larangan itu sebaliknya terus berkecimpung dalam PAS selepas waktu sekolah, maka mereka ditukarkan ke pedalaman dan menyulitkan mereka untuk berpolitik.

Bagaimana pun mana-mana guru yang ada potensi dalam politik diizinkan berpolitik atas kebenaran. Ramai juga mereka yang menjadi tenaga penting dalam Umno di berbagai lapisan.

Sekarang Umno berdepan dengan banyak masalah. Guru yang menyertai Umno kurang memberi tumpuan kepada sekolah, politik wang dan kurang pimpinan yang diterima di peringkat akar umbi menyebabkan Umno mulai renggang dari akar umbi sebaliknya ia dibolot oleh golongan peniaga dan pegawai yang banyak patang larang birokrasi.

Sebaliknya PAS penuh dengan ustaz dan guru-guru yang berpolitik tetapi tidak mengabaikan kerja sekolah.

Maka sekarang Menteri Pelajaran yang juga timbalan Perdana Menteri dan timbalan Presiden Umno mahu memastikan kaum guru menguasai Umno semula dan sekali gus mahu menguatkan Umno seperti sebelum merdeka dan sejurus sebelum merdeka di samping memastikan kedudukannya dalam Umno terjamin sekiranya Perdana Menteri terpaksa berundur.

Bagaimana pun guru-guru yang berpolitik selepas mendapat izin dari kerajaan tidak lagi seperti guru Umno dulu. Mereka menjadikan politik di atas pendidikan. Guru besar yang tidak berpolitik tidak banyak pengaruh atas guru penolong yang menjadi orang kuat Umno. Ada masalah bagi kemajuan sekolah bagi mendisiplin guru yang berpolitik yang masing-masing rapat dengan menteri dan Menteri Besar.

Tetapi ustaz yang berpolitik dalam PAS terus memajukkan pendidikan agama dan menjadikan politik bagi mengukuhkan kefahaman Islam.

Tiada ulasan: