Khamis, April 28, 2011

Tuntutan Cuepacs bukti pendedahan PAS benar.. mesti BACA!

SUMBER
Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 27 April: Tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang memohon kerajaan melakukan pelarasan gaji guru tahun ini, ekoran bebanan hidup akibat kenaikan harga barangan, membuktikan segala pendedahan yang dibuat oleh PAS berhubung perkara itu selama ini adalah benar.

Walaupun kerajaan BN menafikan pendedahan PAS bahawa kenaikan harga petrol, diesel, gas dan barangan utama lain membebankan orang ramai termasuk penjawat awam, tuntutan Cuepacs yang mewakili sektor awam ternyata dengan sendirinya telah mengakui apa yang dikatakan oleh PAS selama ini.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) menegaskan, setiap pihak termasuk kerajaan BN tidak boleh menafikan kenaikan harga barangan sememangnya membabankan hidup rakyat, malahan menyebabkan rakyat mengalami himpitan hidup yang amat teruk, sehingga Cuepacs sendiri terpaksa memohon kerajaan melakukan penyelarasan gaji guru tahun ini.

Menurut beliau, PAS amat bersimpati dengan bebanan hidup yang dihadapi oleh orang ramai termasuk para penjawat awam ekoran kenaikan harga barangan di negara ini dan ia perlu diberikan tindakan yang sewajarnya oleh kerajaan BN. 

Katanya, disebabkan realiti itulah, PAS dan Pakatan Rakyat telah pun menyusun perkara itu dengan kemas dengan menjanjikan pemberian elaun khas sebanyak RM500 sebulan kepada guru-guru jika diberikan amanah oleh orang ramai memerintah negara ini dalam PRU Ke-13 ini, seperti yang terdapat dalam Buku Jingga.

"Itu dah ditegaskan oleh PAS dan Pakatan Rakyat dalam Janji 100 Hari Pertama Pakatan Rakyat, namun ia ditertawakan oleh kerajaan BN dengan mengatakan kerajaan akan bankrap jika dilaksanakan perkara itu.

"Pada hal hujah kerajaan BN itu ternyata meleset kerana janji itu sendiri dibuat oleh Pakatan Rakyat setelah mengambil kira segala aspek termasuk kemampuan kerajaan dari segi kewangan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.    

Bernama hari ini melaporkan, Cuepacs memohon kerajaan melakukan pelarasan gaji tahun ini, berikutan kenaikan harga barangan yang semakin membebankan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan harga barang itu menyebabkan perbelanjaan penjawat awam bertambah lebih RM500 setiap bulan sedangkan pendapatan bulanan tidak berubah.
Katanya, penyelarasan yang boleh dibuat dengan mengambil kira purata perbelanjaan tambahan penjawat awam itu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban mereka.

Selain itu, beliau berkata, Cuepacs turut mencadangkan agar bantuan sara hidup (COLA) semua penjawat awam diselaraskan kepada RM300 sebulan.

"Ini kerana kos sara hidup di luar bandar juga semakin meningkat seperti di bandar," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir Pelajaran (Keptan) Perlis di Kangar.

Cuepacs juga, katanya, mencadangkan elaun tetap perumahan untuk penjawat awam yang bergred 40 dan ke bawah dinaikkan kepada RM350 sebulan berbanding RM180 sekarang.

"Mana ada rumah yang boleh disewa RM180 sebulan di kawasan bandar malah di luar bandar juga sewa rumah telah meningkat,” katanya.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, PAS memang bersetuju dengan tuntutan itu, malah ia bukan sahaja perlu mengambil kira penyelarasan gaji guru, tetapi juga penjawat-penjawat awam lain.

"Malah dalam hal ini, PAS dan Pakatan Rakyat sendiri berharap agar sektor awam sendiri turut menyokong segala perkara yang dijanjikan seperti yang digariskan dalam Buku Jingga kerana itu semua telah mengambil kira segala keperitan hidup rakyat di semua peringkat," katanya.

Selain itu, katanya, sektor awam dan orang ramai di semua peringkat juga perlu menyokong PAS dan Pakatan Rakyat kerana turut berhasrat untuk melakukan pelbagai kebaikan lain lagi jika diberikan mandat memerintah negara, termasuk untuk menangani masalah tol seperti yang terdapat dalam Buku Jingga.

"Kenaikan tol juga telah kita kenalpasti sebagai punca bebanan hidup rakyat. Jadi jika masalah tol dapat ditangani dengan baik, ia pasti akan turut mengurangkan bebanan hidup kakitangan awam dan semua pihak," tegas beliau.

Tiada ulasan: