Pengerusi BN itu berkata, kewujudan media Internet menjadikan ianya lebih sukar untuk memenangi pilihan raya dengan majoriti besar, seperti yang berlaku di setengah negara kebelakangan ini, lapor Bernama.
Malah, katanya, menang dengan majoriti mudah pun sudah amat melegakan.
Tetapi di Sarawak, katanya, BN telah menang dengan lebih daripada majoriti dua pertiga seperti yang dijangkakan pihaknya.
Perdana menteri juga berkata, kemenangan yang sangat meyakinkan itu juga menunjukkan bahawa pakatan pembangkang gagal mencetuskan tsunami politik di negeri itu.
Perdana Menteri berkata apa yang diuar-uarkan oleh pakatan itu, sama ada melalui ceramah ataupun media alternatif atau yang cuba disebarkan mereka melalui SMS dan sebagainya, pengundi pada umumnya tidak menerima cara yang dilakukan oleh parti pembangkang yang cuba hendak mencetuskan tsunami politik.
“Kesudahannya pengundi di Sarawak berfikir secara rasional, bukan secara emosi, bahawasanya masa depan mereka akan hanya terbela dan terjamin dengan sokongan kepada BN, dan parti pembangkang bukan alternatif yang lebih baik.
“Ini satu kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan kepada kemenangan besar yang dicapai BN,” katanya yang juga pengerusi BN dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn malam tadi.
Dalam pilihan raya Sarawak semalam, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, manakala pakatan pembangkang menang 15, dan satu dimenangi calon Bebas.
Daripada 15 kerusi yang dimenangi pembangkang, 12 diperoleh oleh DAP manakala PKR menang tiga daripada 49 kerusi yang itandinginya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan