Selasa, April 05, 2011

Pembela mangsa JE selamat disemadikan.. takziah!

sumber
Zulkifli Sulong   
PORT DICKSON, 5 April: Mayat pejuang mangsa JE Bukit Pelanduk, Yap Ah Peng, 69, selamat disemadikan di tanah perkuburan Cina Sendayan tengahari tadi dengan penuh adat dan budaya Cina.

Turut serta memberikan penghormatan terakhir adalah Pesuruhajaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar bersama Yang Dipertuan PAS Telok Kemang, Haji Ramli Ismail.

Turut berada di rumah teres Yap Ah Peng ketika majlis penghormatan terakhir diberikan adalah Adun Port Dickson, M Ravi dan Adun Lukut, Ean Yong Tin Sin.
(Gambar: Yap ketika datang ke pejabat Harakadaily tahun lepas, menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang,  bagi menerangkan isu terkini tanah Bukit Pelanduk ketika itu)
Yap Ah Peng, bekas Adun MCA Jimah selama dua penggal meninggal petang 1 April lepas dengan begitu mudah sekali. Tanpa harta dan rumah besar, Yap meninggalkan isteri dan empat anak.

Anak sulong beliau, Dr Yap Yeong Ching berkata, bapanya sedang berbual telefon agak panjang sebagaimana biasa petang Jumaat itu. Selepas itu, beliau duduk dan terus tidak sedarkan diri.

Doktor kemudiannya mengesahkan kematian beliau selepas di bawa ke Hospital Port Dickson.

Hari ini, 5 April mayat Yap Ah Peng selamat di semadikan namun kenangan pelbagai pihak khasnya PAS sendiri terhadap Yap tidak mungkin akan dilupakan begitu sahaja.

Kali terkahir Yap bersama PAS adalah tiga hari sebelum itu di Majlis Makan Malam untuk mengumpul dana Kompleks PAS Negeri Sembilan di Dataran Muhibbah Kampung Ismail, Ampangan.

Di majlis itu, Yap mengambil satu meja iaitu bersama sembilan lagi rakannya, beliau menyertai majlis yang turut disertai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Menurut Zulkefli Mohd Omar, Yap datang ke meja Presiden PAS sambil membawa segala keratan akhbar khasnya dari akhbar Cina menunjukkan laporan kenangan bagaimana hubungan beliau dengan PAS kepada Ustaz Abdul Hadi.
(Gambar: Zulkefli Mohd Omar turut menghantar keranda Yap untuk disemadikan)

Antaranya keratan akhbar beliau menyerahkan memorandum menyokong Undang-undang Hudud yang ketika itu hangat diperkatakan menjelang pilihan raya 2004 lalu. Yap dan rakan-rakannya menjadi penawar kepada PAS yang hari-hari diserang kerana Hudud itu khasnya dari masyarakat dan parti Cina.

Memandangkan semuanya adalah salinan asal, Yap berjanji akan membuat salinan dan akan dihantar kepada Ustaz Abdul Hadi selepas ini. Namun, belum sempat salinan itu diserahkan, Yap telah pergi buat selama-lamanya.

Yap adalah Adun MCA Jimah, Port Dickson selama dua penggal (kini sebahagiannya Lukut). Ketika menjadi Adun di bawah Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad itu, dia telah dilantik mempengerusikan satu jawatankuasa untuk menyusun semula ternakan babi di Negeri Sembilan khasnya di bawah kawasan beliau iaitu di Bukit Pelanduk kerana ia tidak hygenic ketika itu.

Hasilnya, satu Enakmen telah diluluskan DUN Negeri Sembilan bagi menyusun semula dan mengawal ternakan babi di negeri itu.

Untuk melaksanakannya, kerajaan negeri telah mengambilalih tanah yang luas milik Guthrie dan dibeli dengan harga yang agak rendah. Tanah ini akan disusun, dibina prasarana yang sesuai dan akan dipecah-pecahkan untuk diserahkan kepada penternak babi di situ agar ia tersusun dan bersih.

Namun, kerana ketamakan Umno, sebuah syarikat ditubuhkan untuk menguruskan tanah-tanah itu. Hasilnya, ia hendak dijual dengan harga yang tinggi kepada penduduk di situ.
(Gambar fail: Aktiviti membunuh babi akibat JE pada tahun 1998)
Hasilnya, penduduk enggan membeli tanah itu dan enggan berpindah dari kawasan ternakan masing-masing. Ekoran dari itulah datangnya serangan virus JE yang membunuh lebih 100 mangsa pada tahun 1998.

Serangan virus berkenaan semakin menggila apabila ia mula menjangkiti ramai penduduk sehingga membuatkan keadaan negara ketika itu menjadi gempar. Jumlah angka korban meningkat kepada 31 penduduk menjelang pertengahan Mac.

Seramai 47 orang lagi dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), HS, Hospital Kuala Pilah, Hospital Universiti (HU), Hospital Melaka (HM) dan beberapa hospital swasta.

Menyedari punca jangkitan JE yang berasal daripada babi, kerajaan seterusnya mengerahkan 1,400 anggota tentera dan polis memusnahkan 64,000 babi secara bersepadu di tiga kawasan utama di Port Dickson.

Pasukan Bomba dan Penyelamat menggunakan helikopter untuk menyembur ubat nyamuk daripada udara, selain menyembur menggunakan kaedah biasa di kawasan terlindung.

Sebuah bilik operasi dibuka 24 jam di Jabatan Kesihatan Awam di Bukit Damansara untuk mengumpul maklumat semasa mengenai usaha menangani wabak itu.

Arahan serta suasana panik menyebabkan penduduk di Bukit Pelandok dan Kampung Baru Sungai Nipah di Lukut, dekat Seremban seolah-olah tidak berpenghuni apabila penduduknya bertindak meninggalkan kawasan berkenaan bagi menyelamatkan diri.

Penduduk yang masih berada di kawasan yang ada banyak ladang ternakan khinzir bertindak memakai pelbagai jenis topeng sebagai langkah keselamatan. Enam sekolah rendah terpaksa ditutup sementara berikutan serangan wabak JE di sekitar Bukit Pelandok. (- Ex-smgrian 1991.)

Sebagai bekas wakil rakyat kawasan itu dan orang yang terlibat dengan membuat draf enakmennya, Yap merasa ia adalah tanggungjawab beliau untuk menyelesaikannya.

Walaupun umurnya sudah melebih 60an, Yap telah membuat Diploma Eksekutif di Universiti Malaya tentang kes ini. Beliau telah berjaya mendapatkan diploma itu selepas menyelesaikan kajian beliau mengenai Wabak JE di Bukit Pelanduk.

Kajian beliau itu menjadi satu bahan kajian penting tentang kes ini kerana ia datang dari orang yang terlibat dari awal hingga akhir dalam kes ini.

Apabila isu Hudud datang, Yap berkempen mengumpul tandatangan untuk menyokong undang-undang itu. Hasilnya satu memorandum diserahkan Yap dan rakan-rakan kepada Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi yang juga Menteri Besar Terengganu ketika itu.
(Gambar: Zulkefli bersama Haji Ramli dan M Ravi bercakap dengan anak sulong Yap, Dr Yap Yeong Ching)

Tujuan adalah satu. Yap mahu pencuri tanah rakyat sehingga menyebabkan serangan JE itu dipotong tangan mereka. Pendek kata, Yap mahu kerajaan yang ada dijatuhkan kerana kejahatan mereka itu.

Sejak itulah, hubungan antara Yap dengan PAS menjadi sangat istimewa. Beliaulah antara tokoh yang awal menjadi pemimpin dan ahli Kelab Penyokong PAS.
Ketika ianya dilancarkan di Markas Tarbiyah PAS Pusat di Kuala Lumpur menjelang pilihan raya umum 2004, Yap datang bersama penyokongnya ke situ. Beliau dilantik menjadi Naib Pengerusi pertama Kelab Penyokong PAS yang kini sudah dinaik taraf kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Ketika itu Pengerusinya adalah Alex Ong.

Sejak itu, Yap tidak pernah hilang. Beliau sentiasa sahaja bersama rakan-rakannya bersama PAS berkempen untuk orang-orang Cina agar menyokong PAS dalam pilihan raya umum dan kecil.

Tema beliau jelas, hanya PAS mampu memberikan keadilan kepada semua termasuk memotong tangan pencuri tanah rakyat di Bukit Pelanduk.

Rupanya pertemuan beliau dengan Ustaz Abdul Hadi di Ampangan Khamis 28 Mac adalah pertemuan terakhir beliau dengan Presiden PAS itu.

Hasrat Yap untuk melihat rakyatnya di Negeri Sembilan menjatuhkan pencuri tanah rakyat tidak kesampaian. Namun, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar berjanji, usaha Yap dan rakan-rakannya itu tidak akan sia-sia. Ia akan diteruskan beliau.

Selamat bersemadi Yap Ah Peng (1942 - 2011)

Tiada ulasan: