Ahad, Disember 27, 2009

TEKS UCAPAN PRESIDEN PAS DALAM KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT MEMPERKUKUH PAKATAN RAKYAT

TEKS UCAPAN PRESIDEN PAS DALAM KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT
MEMPERKUKUH PAKATAN RAKYAT


Wujudnya Pakatan Rakyat bertujuan Islah dengan berasaskan masyarakat majmuk , ianya lahir daripada kesedaran bersama di kalangan parti-parti yang bersatu untuk menangani masalah negara dan masyarakat, yang membebani seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan bangsa, agama, ideologi politik, semuanya hasil dari kegagalan Barisan Nasional (BN) yang berterusan dan terus berkuasa dalam tempoh yang begitu panjang , setelah setengah abad negara mencapai kemerdekaan.


Walaupun sistem Demokrasi Berparlimen mengizinkan rakyat membuat perubahan, namun perubahan tidak berlaku, seolah-olah negara di kongkong oleh sistem satu parti, iaitu konsep yang sangat bercanggah dengan amalan demokrasi yang dilaksana dalam masyarakat yang berpendidikan diseluruh dunia. Keadaan ini tidak harus di biarkan berterusan, kerana menimbulkan berbagai-bagai masalah yang lebih menyusahkan.
Masalah-masalah itu termasuklah perkara-perkara yang asas dalam perlembagaan seperti Islam agama persekutuan, hak-hak kepada penganut agama-agama lain di kalangan penduduk berbagai etnik, bahasa melayu menjadi bahasa kebangsaan, pentadbiran yang saksama dan bijak, kedaulatan undang-undang yang adil, raja berpelembagaan, konsep federalisma yang saksama dan lain-lainnya, semuanya tidak terlaksana dengan cara yang tepat.


Akibatnya, perubahan menyeluruh tidak dapat dilaksanakan, tanpa pakatan semua pihak, yang menyatukan tujuan melakukan perubahan, sehingga membebaskan diri majoriti rakyat lemah. Mereka yang merupakan majoriti masyarakat yang menjadi mangsa kecuaian tersebut adalah majoriti pengundi. Tanpa menggerakkan mereka sendiri, tidak berlansung kepada perubahan menyeluruh, sebabnya kerana mereka di perbodoh, ditipu dan dirasuah . Al Quran memaparkan kisah iktibar daripada kerajaan Fir’aun yang memerintah Mesir yang bermaksud:




Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - Akulah Yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah arahan ku? tidakkah kamu melihatnya?
"Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?
"(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin berpangkat besar), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"
(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik (jahat).


Tamaddun Mesir yang terdiri daripada Piramid yang dijaga oleh UNESCO itu adalah bangunan bagi perkuburan Raja Mesir, satu pyramid untuk seorang raja, adalah merupakan suatu projek mega di zaman itu, dibangunkan dengan hasil memaksa rakyat dan merampas hasil negara untuk faedah golongan pemerintah sahaja. Projek seperti ini ada dikeseluruhan negara yang dianggap bertamadun awal, rakyat diperhamba dan perbodohkan. Amalan ini tetap berulang di zaman masing-masing termasuk zaman kita sekarang.


Tsunami politik pilihanraya kedua belas menunjukkan konsep pakatan Rakyat mampu melakukan perubahan, sekiranya diolah dengan cara yang lebih baik boleh berlaku perubahan yang lebih besar walaupun ada kepencangan dalam amalan Demokrasi.


DEMOKRASI
Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang berasaskan Islam terus memilih pendekatan secara saluran demokrasi pilihanraya, walau pun banyaknya berlaku kepincangan dalam negara kita , kerana perubahan kepada demokrasi moden banyak menimba dari Tamadun Islam hasil hubungan barat dengan tamadun Islam dan hubungan Islam dengan Tamadun umat lain dari timur dan barat, kerana pesanan Nabi Muhammad S.A.W. : “Kebijaksanaan laksana barang berharga yang tercicir mesti dipungut walau dari mana datangnya”. Di samping hukum yang telah sedia ada dalam Islam, maka Islam menerima sistem dan hukum daripada masyarakat berbagai bangsa, agama dan budaya.


PAS yang berlandaskan Islam , yang tidak bersifat sekularisma seperti yang didokong oleh parti yang memerintah sekarang , terbuka kepada pakatan dengan semua pihak yang berhasrat baik dan berniat murni untuk menyelamat negara dan rakyat daripada gejala negatif seperti kezaliman, penyelewengan dan kelemahan yang menular dalam pentadbiran negara kita sekarang, melalui konsep demokrasi yang sebenarnya.
Demokrasi bukan hanya hari mengundi , ataupun sekadar memberi hak mengundi kepada mereka yang di senaraikan dalam daftar pemilih, tetapi hendaklah juga diambil kira cara pendaftaran berlaku dengan adil, pemikiran mereka membuat pilihan dengan maklumat media yang demokratik, suasana hidup yang tidak memaksa mereka dalam menentukan hak membuat pilihan, serta pengurusan pilihanraya yang adil.


Sebenarnya kita mengalami demokrasi yang sakit tenat , dengan kongkongan yang menghalang rakyat menjadi hakim yang adil melalui mahkamah pilihan raya, kerana saksi daripada media yang tidak memberi keterangan yang adil dan telus bagi semua pihak. Parti yang memerintah terus memerintah di masa pilihanraya , sehingga menyalahgunakan alat-alat kerajaan melalui kementerian dan jabatan, jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, sehingga undang-undang pilihanraya menjadikan padang lapangan pilihanraya itu tidak sama rata.


Umat Islam sedang menyambut tahun baru hijrah bagi memperingati penubuhan negara masyarakat majmuk di kota Madinah 1430 tahun lalu, yang lahir daripadanya perkataan masyarakat madani yang dicetuskan oleh Ibnu Khaldun dalam buku tulisannya yang telah diterjemah ke dalam berbagai bahasa . Umat Islam memperingati penubuhan negara masyakat majmuk, dalam keadaan jumlah penganut agama Islam adalah minoriti dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penganut berbagai agama yang terlibat dalam penubuhannya di peringkat awal dan negara itu berlansung sehingga lebih empat belas abad, sehingga tamat dengan kejatuhannya, apabila umat Islam sendiri tidak berpegang dengan ajaran mereka, maka PAS berharap rakan-rakan yang bukan Islam jangan mengambil contoh daripada Islam UMNO. Dengan ini PAS ingin membuktikan kita boleh berpakat dan setia dengan perjanjian dalam pakatan kerana inilah ajaran agama.




PERPADUAN
Alhamdulillah kita bersama-sama tinggal dalam negara Malaysia yang dibentuk di atasnya masyarakat majmuk, di mana semua kaum besar di Asia berada di sini. Sepatutnya kita membuka mata dengan realiti yang ada sehingga kita tidak boleh menganggap rakannya adalah pendatang , bukan penduduk asal, kerana kita semua tidak berasa asing disini, bahkan bila kita bertemu di luar negara kita terasa bersama daripada satu negara.


PAS yang berlandaskan Islam menganggap semua manusia adalah sama, kerana realiti mereka percaya kepada Tuhan yang satu, walau pun selepas itu adanya penganut agama yang melantik tuhan-tuhan yang banyak yang sangat bercanggah dengan Islam, tetapi semuanya mengaku kepada Tuhan yang satu sahaja iaitu pencipta alam yang Maha Berkuasa, maka di atas perinsip aqidah ini Islam mewajibkan kerajaan berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama yang berlainan. Islam menganggap semua manusia daripada keturunan Adam dan Hawa, ada pun bangsa dan bahasa yang berbeza, warna kulit yang berlainan, taraf hidup yang tidak sama, semuanya berlaku kemudian.


Semua perbezaan itu terbentuk selepas proses masa yang panjang , Islam menjadikan perbezaan itu tanda kebesaran Allah :


ومن آياته خلق السموات والأرض واختلاف ألسنتكم وألوانكم . إن في ذلك لآيات للعالمين


.(Dan di antara tanda –tanda ketuhanan Allah Yang Maha Esa ialah Dia mencipta langit dan bumi dan Dia mencipta kamu berbagai-bagai bahasa dan warna kulit).
Maka mewajibkan adil kepada semua manusia :


وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل


(Dan apabila kamu memerintah di kalangan manusia hendaklah berlaku adil).


Haram berlaku zalim sesama manusia dalam segala aspek, hatta diperingkat antara bangsa, di masa aman dan perang. Apa lagi kalau kita semua dalam satu negara maka lebih haram lagi kalau berlaku zalim.
Perpaduan di kalangan manusia tidak berlaku dengan aspek ekonomi sahaja, atau aspek politik sahaja, dalam perbatasan negeri dan serantau sahaja, keturunan bangsa sahaja, tetapi perpaduan itu pernah berlaku dengan kosep adil untuk semua dengan maksud menyeluruh, tanpa mengira hanya satu aspek sahaja, bahkan merangkumi aspek ruhani dan jasmani, individu, keluarga, masyarkat, negara dan antarabangsa dan negara. Kerana naluri manusia yang hidup bermasyarakat tidak menjadikan satu bangsa itu menghasilkan segala keperluan hidup, berlakunya kepelbagaian kebolehan dan kepunyaan, selepas itu hendaklah adanya pertukaran keperluan yang mewajibkan percampuran yang berkongsepkan adil dan menghapus segala bentuk kezaliman di antara satu sama lain, di atas semangat persaudaraan kemanusiaan, walaupun berbeza dalam perkara yang banyak.


Adanya negara, perlembagaan, undang-undang dan pentadbirannya adalah bagi menjamin sifat adil yang memupuk perpaduan yang sebenar, dan kita mestilah bersama menentang kezaliman yang mejadi penyakit dalam kehidupan manusia.
Zalim boleh memecah-belahakan satu keluarga, maka lebih lagi memecahkan satu negara, kerana zalim itu menghilangkan kasih sayang di antara satu sama lain. Perpecahan dalam tiap-tiap satu parti BN yang sedang memerintah sepatutnya menjadi iktibar kepada Pakatan Rakyat, dan kita sendiri mestilah menunjukkan perpaduan walaupun berbeza pendapat dalam beberapa perkara. Dahulukan perkara yang disepakati dan mengambil masa dengan sabar dalam perkara yang masih berbeza.


MENGISI KEMENANGAN DI NEGERI DAN KAWASAN
Hari ini kita berbincang bagi merangka masa depan menghadapi pilihanraya ke 13, dalam masa yang sama kita perlu menjadi model di negeri yang telah kita kuasai, di mana lawan kita mencari setiap kelemahan kita. Media arus perdana yang masih tidak banyak memberi ruang yang adil kepada kita, sudah pasti membesarkan kesilapan yang kecil daripada kita dan memperkecilkan kejayaan yang besar daripada kita. Mereka juga akan mengambil setiap kelemahan parti dan individu. Peristiwa Perak perlu menjadi contoh, perlu dilihat bukan sahaja kezaliman dalam amalan demokrasi merampas kuasa di Perak, tetapi juga perlu dilihat ruang kelemahan kita sendiri yang memberi peluang kepada lawan mengambil kesempatan.
Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-yang telah kita kuasai adalah hujah terdekat bagi menghasilkan sokongan rakyat untuk Pilihanraya Ke13. Sekurang-kurangnya kita dapat mebebaskan diri daripada penyakit yang sedang menular dalam parti dan kerajaan BN disemua peringkat.


JENTERA PARTI
Perubahan kepada segala aspek sangat bergantung dengan peranan politik, di sinilah besarnya peranan kita bagi menyelamatkan negara kita. Maka setiap parti hendaklah mengukuhkan jentera parti masing-masing di semua peringkat, sehingga menjadi ukuran untuk meletakkan calon, dan bukan sekadar meletakkan calon secara berangan-angan tanpa berpijak di atas bumi kenyataan melalui kekuatan parti yang sebenar, kemudian berkrisis dalam masalah menentukan calon. Hendaklah berusaha mencari seberapa banyak ahli yang ada untuk menjadi petugas parti dan cawangan yang ditubuhkan untuk menjadi jentera parti. Jangan berpijak diatas kehadiran dalam majlis ceramah dan hanya penyokong yang berpaut dengan isu sementara waktu dan boleh menjadi mangsa politik wang yang masih menjadi wabak penyakit kepada demokrasi di negara kita. Kita tidak boleh berpaut di atas perancangan jangka pendek, kerana perjuangan politik wajib mengharungi jangka panjang, bukan sahaja untuk mencapai kemenangan, tetapi juga merancang untuk mengisi kemenangan dan percayalah bahawa mengisi kemenangan itu sebenarnya lebih sukar daripada mencapai kemenangan . Saya percaya bahawa perbincangan kita hari ini lebih tertumpu kepada mengisi kemenangan.


PERKUKUH PAKATAN RAKYAT
Hari ini kita berbahas dengan sehangat-hangatnya, bagi mendatangkan natijah terbaik ke arah megukuhkan parti, dan di sana sudah tentu ada perbezaan pendapat, dan pendapat yang terkuat hujahnya adalah pengukuhan kepada resolusi yang dicapai. Pendapat yang lemah juga tetap dihormati, kadang-kadang yang lemah hari ini menjadi kenyataan yang kuat di masa akan datang, oleh kerana itu dalam budaya ilmu Islam kami bukan sahaja mencatit pendapat yang menjadi keputusan muktamad, pendapat yang lemah juga dijadikan ingatan, dan tidak ada yang diperkecilkan. Kita juga menjadikan majlis ini sebagai medan persaudaraan yang menemukan kita semua di atas semangat persaudaraan dalam satu bahtera negara tercinta, kalau selamat bahtera ini, selamatlah kita semua dan sampai ke destinasi yang dituju untuk pilihanraya ke 13.


Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang hadir dan selamat berkonvensyen.


YB. Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
19 Disember 2009
Auditorium MBSA, Shah Alam,
Selangor

Tiada ulasan: