Jumaat, Disember 11, 2009

iTULAH jika Bercinta sebelum nikah.. he he.. Saman Bekas tunang RM 1 Juta?

Bekas tunang saman pegawai bank RM 1j

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my



MOHAMAD FAHIZUL bersama Herman Syah (kanan), di luar Mahkamah Syariah Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM: Seorang pegawai bank, Nor Daliya Mohd Daud, 34, disaman hampir RM1 juta oleh bekas tunangnya sebagai ganti rugi kerana memutuskan pertunangan mereka, lebih setahun lalu.


Saman itu difailkan Pengarah Urusan sebuah syarikat teknologi maklumat dan komunikasi, Mohamad Fahizul Khairi, 53, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini kerana mendakwa tindakan defendan memutuskan pertunangan pada 21 April 2008 dan enggan serta cuai memulangkan wang yang disumbangkan mendatangkan kerugian, kemudaratan dan keaiban.

Nor Daliya yang mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertamanya, hadir di mahkamah dengan ditemani suami barunya. Turut hadir, bekas suaminya, Herman Syah Abdul Rahim yang bercerai dengan defendan pada 9 Januari 2007.


Dalam saman yang dikemukakan, 8 Mei lalu, Mohamad Fahizul yang bertunang dengan Nor Daliya di Pekan, Pahang pada 6 Disember 2007, menuntut ganti rugi dan kemudaratan kewangan sebanyak RM871,186.57.

Daripada jumlah itu, RM570,000 bagi pembiayaan rumah yang ditanggung plaintif; RM208,594 bagi kos ubah suai serta barang rumah dan RM15,000 kos ejen hartanah.

NOR DALIYA bersama suami keluar dari Mahkamah Syariah Shah Alam selepas mendengar sebutan kes permohonan bekas tunangnya untuk menuntut ganti rugi hampir RM1 juta.

Plaintif juga menuntut RM20,000 bagi bayaran muka untuk membeli kereta baru Honda Civic defendan dan RM57,092.57 bagi bayaran yang dibuat dalam akaun dan kad kredit defendan.


Mohamad Fahizul yang mendakwa menceraikan isterinya, Siti Zabiha pada 7 April 2008 atas desakan defendan, turut menuntut ganti rugi keaiban sebanyak RM100,000.


Dalam tuntutan itu, plaintif mendakwa membeli sebuah rumah teres dua setengah tingkat di Bandar Utama atas nama defendan pada 3 April 2007 dan plaintif membiayai 74 peratus harga rumah itu.


Bagaimanapun, Nor Daliya dalam notis bantahan awal yang difailkan pada 8 Julai lalu, mendakwa semua hadiah yang diberikan plaintif sebelum bertunang tidak boleh dituntut kerana ia dianggap hadiah untuk memikat hatinya.

Nor Daliya diwakili peguam syarie Mohamad Isa Abd Ralip, manakala plaintif diwakili Mohd Azmi Rais.

FAKTA KES: Tuntutan Mohamad Fahizul terhadap Nor Daliya

  • RM570,000 bagi pembiayaan rumah yang ditanggung plaintif;
  • RM208,594 bagi kos ubah suai serta barang rumah;
  • RM15,000 kos ejen hartanah;
  • RM20,000 bagi bayaran muka untuk membeli kereta baru Honda Civic defendan;
  • RM57,092.57 bagi bayaran yang dibuat dalam akaun dan kad kredit defendan.
--------------------

yusz felda : jarang dengar kisah begini.. cuma bila jadi macam ni, kita teka hubungan sebelum nikah tu intim sangat hingga menjangka 100% sah mereka berdua akan diijab qabul.. sepatutnya kita manusia ni kena ingat.. 99% mungkin jadi.. 1% lagi ada IZIN ALLAH.. 1% itu jika tak diizin, maka APA GUNA HARAPAN SEGUNUNG 99% TADI??? Oleh itu, simpanlah sedikit bahawa apa yang berlaku ialah dari Allah.. KITA MERANCANG, ALLAH MENENTUKAN.. Itulah IMAN.. ITULAH iSLAM yang mengajar kita... Ada hikmahnya tak jadi ikatan tersebut.. kedua pihak hidup dengan HAWA NAFSU SAHAJA selama ini...

Tiada ulasan: