Selasa, Mei 10, 2011

Sobree serah borang permohonan sertai PAS (Kelantan) & juga berita di Negeri Sembilan..

Sobree serah borang permohonan sertai PAS
Harakahdaily   
KOTA BHARU, 9 Mei: Setelah berteka-teki ke manakah Sobree Shafii akan pergi selepas keluar dari Umno akhir tahun lepas, hari ini terjawab apabila beliau menyerahkan borang permohonan menyertai PAS.

Sobree menyerahkan borang permohonan menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz di pejabat MB Kelantan jam 10.30 pagi tadi.

Sobree Shafii digelar penglima hitam Umno sejak tahun-tahun 80-an
Menurut Mohd Sayuti Omar dalam blognya, ekoran kemasukan Sobree ke dalam PAS itu, seorang orang kanan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Annuar Musa  akan mengambil keputusan yang sama bersama beberapa pengikutnya.


Dengan berlangsung peristiwa itu pada pagi ini maka tamatlah teka teki mengenai kedudukan Sobree yang sebelum ini kabur sama ada hendak bersama PKR atau Pas.
Sobree meninggalkan Umno akhir tahun lepas selepas kecewa dengan sistem diamalkan parti berkenaan dan juga tindak tanduk pemimpin parti berkenaan.

Katanya semasa mengumumkan keluar dari Umno, beliau rela kecewa di luar Umno dari kecewa di dalam Umno.

"Kalau Tuhan mahukan saya menyertai PAS, tidak ada usaha lain yang saya boleh lakukan melainkan akur saja sebab saya makhluk kerdil di mana sepanjang masa dalam kawalan takdir Allah," ujarnya tenang dalam satu majlis sebelum ini.

Mengulas mengenai pertemuan beliau dengan  Nik Abdul Aziz hari ini, Sobree melahirkan rasa gembria yang amat sangat.

"Saya tidak ada bahasa untuk melukiskan perasaan gembira saya kecuali hanya bersyukur kepada Allah dan terima kasih banyak kepada Tok Guru dan seluruh kepimpinan PAS Kelantan," ujarnya.

Beliau juga menyifatkan kemurahan hati Tok Guru untuk menerima borang kemasukannya menggambarkan sikap tawaduk, rendah diri dan jiwa besar Menteri Besar Kelantan itu sebagai seorang mursyid.

"Beliau senang saja menerima kemasukan saya bila saya menyatakan hasrat, tanpa ada dolak dalih dan membayangkan berbagai kemungkinan dan implikasinya," ceritanya.

Sebelum ini beliau sudah berjumpa dengan Nik Aziz dan setiap kali berjumpa MB itu selalu bertanya beliau bila nak serah borang dan berceramah bila mana beliau mula memberi gambaran berminat dengan PAS.

Malam esok Sobree akan muncul di pentas ceramah di Ketereh buat pertama sekali sebagai bakal ahli PAS bersama Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Husam Musa.

Katanya dalam ceramah itu dia akan mendedahkan kepincangan kepimpinan Umno Ketereh khasnya mengenai Alwi Che Amat.
PA Exco Negeri Sembilan sertai PAS


(Gambar: Anuar [dua dari kanan] ketika bercakap kepada media selepas umumkan sertai PAS)
Sebelum ini, bekas Pembantu Khas (PA) Exco kerajaan Negeri Sembilan, Yunus Rahmat iaitu Anuar Hashim meninggalkan Umno dan menyertai PAS.
Beliau menyerahkan borang permohonan menyertai PAS itu kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefli Mohd Omar.

Anuar berkata, beliau meninggalkan Umno kerana parti itu sudah membelakangi perjuangan asalnya dan menyalahgunakan Islam.

"Umno telah mengambil pendekatan fitnah dalam politiknya dan ia sudah tidak selari dengan kehendak Islam," kata beliau dalam satu sidang media bersama Pesuhjaya PAS Negeri Sembilan itu.

"Saya menyertai PAS kerana perjuangannya sentiasa konsistem dengan Islam sejak dahulu hingga kini," kata Anuar.

Tiada ulasan: