Selasa, Mei 10, 2011

Cadangan hantar guru Bahasa Melayu ke luar negara...

SUMBER


Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pelajar Malaysia pada majlis makan malam bersama komuniti Malaysia di Copenhagen, Denmark, semalam. – Bernama


COPENHAGEN 9 Mei – Kerajaan bersedia meneliti cadangan untuk melatih dan menghantar guru Bahasa Melayu mengajar anak-anak warga Malaysia yang berada di luar negara bagi membantu mereka mempelajari dan menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, pelbagai aspek perlu dikaji terlebih dahulu termasuk dari segi penyediaan tenaga pengajar, buku teks serta silibus pengajaran dan pembelajaran.
Bahasa Melayu jelas beliau, tidak sukar untuk dipelajari justeru, mungkin boleh diwujudkan kelas untuk mengajar bahasa itu selama satu atau dua jam sehari.
‘‘Kita boleh hantar guru ke sini atau rakyat Malaysia yang berada di sini boleh ke Malaysia untuk belajar bahasa Melayu dan kembali ke Denmark untuk mengajar, kita perlu teliti mana yang sesuai.
‘‘Kita juga sedia hantar buku teks serta teliti silibus yang perlu diikuti untuk belajar bahasa Melayu selain melatih tenaga pengajar,” katanya ketika menjawab soalan Pengerusi Persatuan Rakyat Malaysia-Danish, Poo Chu Chua pada sesi dialog dengan rakyat Malaysia di Denmark pada majlis makan malam di sini malam tadi.

Tiada ulasan: