Rabu, Oktober 27, 2010

PAS ucap takziah ATAS PERISTIWA TSUNAMI TERBARU DI INDONESIA!





* SEKADAR HIASAN-


Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 27 Okt: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dan hilang dalam bencana tsunami di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, malam kelmarin.
Ucapan sama turut dirakamkan kepada keluarga mangsa korban letusan Gunung Merapi di sekitar penempatan Surakso Hargo atau Mbah Maridjan di Yogyakarta, Indonesia.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan beharap agar semua keluarga dapat bersabar dengan ujian Allah tersebut.

"Kami berdoa agar semua ahli keluarga dan sahabat handai yang menerima kehilangan anggota keluarga dan kecederaan agar dapat bersabar dengan ujian Allah SWT ini dan dapat menghadapinya dengan penuh keimanan," katanya.

Selain itu, PAS juga tegasnya menyeru badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia yang berkait dengan misi kemanusian, agar segera memberi bantuan.

"PAS akan membuat pemantauan dan menyeru (NGO) dari Malaysia yang terlibat dalam aktiviti misi kemanusiaan untuk mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi membantu saudara sejiran yang menerima musibah ini," katanya lagi.

Sehingga malam tadi, bencana tsunami yang berlaku selepas gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala richter itu telah mengorbankan 58 orang manakala lebih 270 lagi hilang.

Dilaporkan, wilayah Dusun Munte di Kecamatan Pagai Utara antara kawasan paling teruk dilanda tsunami tersebut.
Pegawai Daerah Kepulauan Mentawai, Edison Saleuleubaja berkata, ada beberapa dusun yang belum terpantau kerana sukar dimasuki pasukan penyelamat.

"Selain itu, buruknya cuaca di perairan Laut Mentawai juga menyebabkan upaya memantau dusun-dusun lainnya belum dapat dilakukan," lapor agensi berita Antara.

Mereka yang hilang dipercayai melibatkan 10 rakyat Australia dan Jepun yang berada dalam sebuah kapal bernama Southern Cross milik Sumatran Surfariis.

Pihak kedutaan Australia di Jakarta juga yakin bahawa rakyatnya berada di dalam kapal itu.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengumumkan gempa bumi berukuran 7.2 pada Skala Richter berlaku pada pukul 9.42 malam Isnin, pada kedudukan 78 kilometer Barat Daya Pagai Selatan, Mentawai Sumbar, pada kedalaman 10 km.

Tiada ulasan: