Selasa, Oktober 19, 2010

Semua YB Di Sandakan Makan Gaji Buta?

Posted on Monday, October 18 @ 03:56:39 PDT
Dilulus untuk paparan oleh anaqsabah

Analisis Isu
Oleh : Anak Jati Sandakan
Saudara Pengarang,

Saya sebagai seorang penduduk jati Sandakan yang dilahirkan, dibesarkan, disekolahkan dan mencari rezeki di sini ingin meluahkan perasaan kecewa yang teramat sangat dengan tahap pembangunan di daerah ini.

Bandar Sandakan yang digelar Bandar Alam Semulajadi pada suatu ketika dahulu adalah sebuah kawasan yang begitu kaya dan makmur dengan hasil bumi terutamanya hasil hutan khatulistiwa sehinggakan ramai peniaga dan usahawan dari Jepun,Taiwan,Korea dan juga Eropah datang melabur di bandar ini dalam bidang kayu-kayan dengan membuka kilang pemprosesan kayu.

Ramai di antara mereka ini menjadi jutawan hasil kegigihan dan kerajinan mereka menerokai bidang perkayuan ini. Kemewahan hasil bumi Sandakan begitu terserlah sehinggakan bandar ini pernah digelar ‘Little Hong Kong’ kerana kemakmuran ekonominya yang dibandingkan dengan Hong Kong.

Malah bandar ini pernah dikatakan antara tempat yang paling kaya di dunia! Bandar ini juga pernah menjadi ibu negeri Sabah sebelum status ini diserahkan kepada Kota Kinabalu kerana bandar ini mengalami kemusnahan teruk angkara Perang Dunia Ke Dua.

Tetapi semua ini adalah cebisan sejarah kerana Sandakan sekarang jauh ketinggalan dari segi pembangunan fizikal jika dibandingkan dengan Kota Kinabalu, Tawau dan juga Lahad Datu.

Saya sebenarnya hairan dan sentiasa tertanya-tanya apakah punca utama yang menyebabkan bandar ini begitu terkebelakang dan daif dari segi pembangunan?

Kawasan jajahan Sandakan sebenarnya adalah meliputi Sandakan, Telupid, Sukau, Beluran, Kinabatangan dan Sugut.

Ini bermakna keseluruhan kawasan jajahan Sandakan adalah berlipat ganda luas jika dibandingkan dengan daerah lain di Sabah ini dan juga negeri-negeri di Semenanjung Malaysia; malah kawasan sahaja boleh membina dua negara Singapura! Tetapi malangnya Sandakan begitu mundur sekarang dan saya bertambah hairan kerana Sandakan diwakili oleh ramai YB dalam kerusi menteri persekutuan dan juga Government Link Companies(GLC).

Antaranya ialah Datuk Seri Musa Aman selaku ADUN Sungai Sibuga yang memegang jawatan Ketua Menteri Sabah, Menteri Kewangan dan juga beberapa jawatan tertinggi dalam GLC negeri.
Jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Belia dan Sukan juga disandang oleh YB dari Sandakan iaitu Datuk Peter Pang selaku ADUN Karamunting.

Presiden parti LDP iaitu Datuk VK Liew juga merupakan Ahli Parlimen Sandakan yang memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Selain daripada itu, Menteri Perindustrian Sabah iaitu Datuk Raymond Tan juga merupakan ADUN Tanjung Papat. Manakala Datuk Ronald Kiandee adalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat (Ahli Parlimen Beluran) dan Datuk Michael Asang memegang jawatan Timbalan Menteri (ADUN Labuk).

Begitu juga dengan Datuk Juslie Ajirol adalah Pengerusi SUDC (Ahli Parlimen Libaran); Datuk Zakaria Edris adalah Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (ADUN Gum Gum); Datuk Shamsudin Yahya adalah Pengerusi Ko Nelayan(ADUN Sekong) ; Au Kam Wah pula adalah Pengerusi Sabah Energy Sdn Bhd (ADUN Elopura); Datuk Bung Mokhtar ialah Timbalan Pengerusi SESB (Ahli Parlimen Kinabatangan) dan Datuk Edmund Chong Ket Wah (Mendiang) adalah Pengerusi LPKP Sabah(Ahli Parlimen Batu Sapi).

Jika anda pembaca yang bukan berasal dari Sandakan dapat rasakan anda akan berasa cemburu dan merasa begitu bertuahnya penduduk Sandakan dengan senarai YB yang mewakili Sandakan yang menduduki jawatan-jawatan penting ini kerana anda pasti berfikir bandar ini akan dilimpahi dengan pembangunan.

Tetapi saya boleh memberitahu anda bahawa andaian anda itu adalah SALAH dan SILAP kerana rakyat Sandakan tidak mendapat apa-apa keuntungan dan manafaat melainkan semuanya disapu habis oleh kaum kerabat YB YB yang mewakili Sandakan ini.

Kabinet Sabah dalam pembentangan belanjawan 2010 ada menyatakan bahawa Sabah akan dilimpahi dengan dana berjumlah lebih dari tiga billion ringgit dan Datuk Musa Aman ada menyatakan bahawa Sandakan Education Hub (SEH) dan POIC Sandakan juga tersenarai dalam belanjawan ini.

Tetapi saya sebagai seorang penduduk Sandakan ingin bertanya Datuk Musa Aman, adakah anda sebagai seorang Ketua Menteri Sabah dan juga Wakil Rakyat dari Sandakan hanya berkemampuan membawa dua sahaja projek ini sahaja ke daerah Sandakan?

Seingat saya juga, dalam blueprint Sabah Development Corridor (SDC), projek SEH ini juga sudah termasuk dalam senarai pembangunan yang akan dimajukan di daerah ini tetapi tidak dilaksanakan sejak sekian lama. 

Tidak pernahkah anda terfikir membawa projek-projek lain ke daerah yang anda wakili ini? Mustahil Sandakan hanya layak mendapat projek ini sahaja padahal anda mewakili daerah Sandakan. Tepuk dada, tanya selera! 

Selain itu, Datuk Musa Aman juga pernah berjanji manis kepada penduduk Taman Khong Lok di Sandakan ini semasa kempen pilihanraya lalu bahawa kerajaan akan membesarkan lapangan terbang Sandakan supaya menjadi sebuah lapangan terbang yang bertaraf antarabangsa tetapi sampai sekarang setelah beberapa tahun kerajaan BN memenangi pilihanraya,TIADA seinci pun lapangan terbang di Sandakan ini dibesarkan!

Saya sebagai salah seorang penduduk yang menghadiri kempen ini berasa kecewa dan tertipu dengan janji janji kosong anda. Saya juga berasa sia-sia sahaja undi saya memangkah lambang BN.

Begitu juga dengan Datuk VK Liew yang pernah berjanji dalam manifesto pilihanrayanya dahulu bahawa Sandakan akan bakal mendapat sebuah Universiti sekiranya beliau memenangi kerusi MP Sandakan, tetapi sampai saat ini habuk Universiti pun tiada. 

Saya juga ingin bertanya kepada Datuk Juslie Ajirol selaku Pengerusi SUDC dan wakil rakyat dari Sandakan, apakah sumbangan anda kepada penduduk di daerah ini setelah anda menang pilihanraya lalu?

Kenapakah anda berupaya membawa projek mega ke daerah Tawau dengan membina Kuhara Plaza tetapi langsung tiada membawa projek pembangunan kepada penduduk Sandakan yang mengundi anda dahulu?

Anda selaku seorang pengerusi sebuah anak syarikat kerajaan negeri sepatutnya berkemampuan dan layak mencadangkan sesuatu projek ke daerah ini yang boleh membawa peluang pekerjaan kepada muda-mudi di daerah ini, tetapi sebaliknya anda membawa projek ke daerah yang bukan diwakili oleh anda! Apakah kurangnya Sandakan jika hendak dibandingkan dengan Tawau Apakah anda telah melupakan penduduk Sandakan yang memilih anda menduduki kerusi empuk ini?

Bandar Sandakan sebenarnya jauh ketinggalan dari segi pembangunan jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di Sabah ini. Agak memalukan sekiranya wakil rakyat dari Sandakan ini hanya mampu dan selalu berbangga dengan projek Sandakan Harbour Square dan sekarang SEH?

Sandakan sememangnya berpotensi besar kerana daerah ini mempunyai kawasan yang luas dan startegik berbanding daerah lain. Malah sekarang Sandakan jauh kebelakang jika dibandingkan dengan Lahad Datu yang begitu sibuk dengan projek mega seperti POIC, Palm City, Darvey Plaza dan projek swasta yang lain.

Tidakkah anda wakil rakyat Sandakan berasa malu dengan keadaan ini kerana sebelum ini Lahad Datu adalah sebuah daerah yang mundur dan sepi, tetapi sekarang begitu rancak dengan projek pembangunan. 

Cuba anda sebagai seorang wakil rakyat berfikir dan bertanya kepada diri anda sendiri, mengapa pemaju membawa projek mereka ke daerah Lahad Datu tetapi tidak melabur ke Sandakan? Jawapan yang boleh saya tolong anda jawab ialah,anda TIDAK berusaha menarik pelaburan ke daerah ini. Anda juga PEMALAS dan tidak menjalankan tanggungjawab anda sebagai seorang wakil rakyat. Anda hanya menatang gaji buta!

Contohnya, kawasan batu 7 yang diwakili oleh Datuk Musa. Kawasan ini sebenarnya kaya dengan alam semulajadi yang cantik dengan kawasan persisiran pantai yang menarik. Kerajaan boleh membina resort atau hotel bertaraf antarabangsa di kawasan ini seperti TAR atau Karambunai di Kota Kinabalu. Kawasan batu 7 ini juga dilengkapi dengan pusat pentadbiran seperti JPJ, mahkamah, LHDN dan juga pejabat kerajaan negeri, persekutuan dna badan berkanun.

Antara kawasan lain di Sandakan yang bernilai komersil seperti Pulau Berhala yang boleh dimajukan seperti Taman Tuanku Abdul Rahman di Kota Kinabalu dan juga di pesisiran pantai di pasir putih di jalan Cecily. Semua kawasan ini boleh dimajukan dengan membina hotel atau komplek membeli belah bertaraf antarabangsa.
Kesimpulan dari luahan hati saya ini ialah, wahai wakil rakyat Sandakan! ingatlah anda bahawa kuasa, kemewahan dan kesenangan anda sekarang adalah dari kuasa RAKYAT. Tanpa pertolongan rakyat, anda adalah rakyat biasa seperti saya. Ingat lah anda wakil rakyat, kami rakyat yang menaikkan anda dan kami jugalah yang akan menumbangkan anda dari persada kuasa sekiranya anda masih bersikap tidak acuh tidak acuh dengan peranan anda sebenarnya.

Salah seorang ‘YB Contoh’ atau role model terbaik yang wajib diikuti oleh semua YB di Sandakan ialah YB Sukau iaitu Datuk Saddi Abdul Rahman. Walaupun beliau baru satu penggal menjadi YB, tetapi berkat keazaman dan kesungguhan beliau hendak memajukan kawasan yang diwakilinya, beliau membawa projek ‘Bandar Biodiversiti Baru Sukau’ ke kawasan yang diwakilinya.

Saddilah contoh pemimpin yang disayangi dan dikehendaki rakyat. Jasa beliau akan rakyat kenang dan sanjung sepanjang hayat.
Adakah semua YB Sandakan sedar bahawa kami memilih anda untuk bekerja kepada rakyat dan bukan memilih anda menyusahkan dan menimbulkan perasaan meluat kepada anda. Sekiranya anda tidak mempunyai idea untuk memajukan Sandakan, cubalah anda meminta pendapat dari saya sebagai penduduk jati Sandakan, bagaimana untuk memakmurkan lagi bandar ini.

Janganlah anda hanya duduk di pejabat mewah anda dan sekadar mendengar laporan dan cakap kosong dari pembantu anda yang kebanyakkannya bukan berasal dari daerah ini yang langsung tidak memahami keperluan penduduk di bandar ini.
Salam Hormat,
ANAK JATI SANDAKAN

Tiada ulasan: