Rabu, Oktober 13, 2010

Batu Sapi: PAS minat tetapi akur keputusan PR




Harakahdaily   
TEMERLOH, 13 Okt: PAS hari ini menyatakan minatnya untuk bertanding di pilihanraya kecil Batu Sapi di Sabah, namun parti akan akur pada keputusan hasil daripada permuafakatan mesyuarat Pakatan Rakyat yang akan diadakan hari ini.

“PAS akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk bertanding di Batu Sapi.

"Kita mempunyai jentera dan calon yang mampu menarik sokongan rakyat dan dengan nisbah pengundi 60 peratus Muslim, ianya bukan perkara mustahil bagi PAS memenangi kerusi tersebut,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily.

Pilihan raya kecil Batu Sapi merupakan pilihanraya kecil yang ke-13 sejak 2008 ekoran kematian mengejut Ahli Parlimen Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya minggu lepas.

Dianggarkan terdapat 26,000 pengundi dengan pecahan pengundi Melayu 32%, Cina 38%, India 0.5%, Bumiputera Sabah 26%, Bumiputera Sarawak 0.5% dan lain-lain 2.6%.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat, Fuziah Salleh dalam satu laporan The Malaysian Insider memberitahu bahawa kerusi Batu Sapi itu milik partinya walaupun gagal meletakkan sebarang calon pada pilihanraya umum ke 12 yang lalu atas sebab-sebab tertentu.

Fuziah juga mengatakan bahawa Pakatan Rakyat telah mencapai persetujuan dahulu bahawa kerusi itu diperuntukan untuk PKR, dan oleh itu kali ini parti tersebut akan bersiap sedia untuk bertanding di Batu Sapi.

Namun begitu, Tuan Ibrahim berpendapat bahawa senario politik di Batu Sapi dan insiden pilihanraya ke 12 perlu diambil kira dalam meletakkan calon dalam pilihanraya kecil kali ini sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Walau bagaimanapun PAS akan akur kepada muafakat Pakatan Rakyat dalam mesyuarat yang akan diadakan Rabu ini,” kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

----------------------
RESPON : SEMUA PIHAK DALAM PR KENA AKUR SELEPAS KEPUTUSAN SIAPA YANG AKAN BERTANDING DIPUTUSKAN OLEH PIMPINAN PR

Tiada ulasan: