Jumaat, Jun 04, 2010

Belajar dari Zulkarnain! Bukan Alexander!


Zolkharnain Abidin   
Selesai membaca tafsir surah al-Kahfi buah tangan Ibnu Kathir, saya teringat untuk membuat kiriman ini. Walau pun bukan kerana kesamaan nama, saya tetap berterima kasih kepada al-marhum ayah yang meletakkan nama itu untuk saya. Siapalah saya untuk disamakan dengan seorang raja adil lagi perkasa yang diabadikan namanya di dalam al-Quran itu.

Zulqarnain di dalam al-Quran mengikut para ulama bukan Iskandar al-Maqduni atau Alexander The Great yang pernah kita baca dalam buku sejarah itu. Alexander itu adalah penakluk yang tidak beriman. Mereka berdua mungkin sama dari sudut kepintaran menakluk, tetapi iman memisahkan mereka.

Saya tidak berhasrat untuk berbicara panjang mengenai latarbelakang personal Zulqarnain, tanya sahaja ‘Mr Google’, dia mampu menjawab dengan agak baik.

Menurut al-Quran Zulqarnain sampai ke penghujung timur dan barat bumi. Beliau menemui pelbagai watak manusia. Dia melakukan kebaikan kepada mereka dan mengajak mereka beriman kepada Allah.

Kemuncak pengambaraan Zulqarnain ialah apabila dia sampai ke daerah yang terletak di antara dua bukit. Daerah itu sering diserang oleh Ya’juj dan Ma’juj, daripada keturunan Adam yang mengganas tanpa batasan.

Siapakah Ya’juj dan Ma’juj? Tanyalah ‘Mr Google’, dia akan mencadangkan ensiklopedia bebas Wikipedia untuk ditelaah. Rasanya itu memadai.

Kaum yang tinggal di daerah itu bersedia mengupah Zulqarnain untuk membina tembok pemisah antara mereka dan Ya’juj dan Ma’juj. Zulqarnain menolak upah itu dan bersedia bekerjasama dengan mereka untuk melakukannya.

Bagaimama Zulqarnain bekerja? Ini yang penting dan sepatutnya diteladani.

1. Zulqarnain berkepakaran tinggi – Dia bukan pemimpin biasa tetapi seorang yang berilmu. Dia menguasai ilmu dakwah, ilmu perang, ilmu seni kepimpinan termasuk ilmu binaan. Dia membina tembok pemisah dengan sangat teguh sehingga tidak mampu dipanjat dan ditebuk.

Semua kepakarannya dimanfaatkan di tempat yang sebenar. Dia berlemah-lembut dengan sasaran dakwahnya, bertegas dengan penentangnya dan bekerjasama dengan mereka yang sedia bekerjasama. Dengan lembut ada tegas, dalam tegas ada bijaksana.

2. Bijak memanfaatkan kebolehan orang lain – Biar pun Zulqarnain berupaya membina tembok itu dengan kekuatan tentera yang dimilikinya, namun dia tidak berhidung tinggi. Dia menghargai kebolehan penduduk setempat dengan memohon kerjasama mereka dalam bidang yang mereka berkebolehan.

Beliau meminta mereka mendapatkan kepingan besi, menimbunnya setinggi bukit, meniup kepingan besi sehingga panas membara, mendapatkan tembaga cair dan menuangkan tembaga itu di atas timbunan besi berkenaan.

Penduduk setempat tidak merasai tembok itu sumbangan Zulqarnain sepenuhnya, tetapi merasai itu hak mereka juga kerana mereka turut menyumbang dalam pembinaannya.

3. Sedar mengenai kedudukan diri sendiri – Selesai pembinaan tembok, Zulqarnain menyifatkan kejayaannya itu sebagai rahmat dari Tuhan. Tembok itu terbina dengan kehendak Tuhan dan bakal ranap dengan kehendak Tuhan juga.

Beliau tidak merasa dirinya serba hebat, serba tahu dan serba sempurna. Penyandaran urusan hidup kepada Tuhan pada permulaan dan penghujungnya, membentuk jiwa mereka yang berkuasa agar sedar akan amanah kekuasaan yang dimilikinya.

Sebesar mana pun kuasa, setinggi mana pun jawatan, sekuat mana pun pengaruh, sampai masa ranap jua.

4. Sentiasa mendapat pertolongan Allah – Zulqarnain sentiasa dipermudahkan oleh Tuhan dalam semua urusannya. Jalan sentiasa terbuka dan terbentang. Dia boleh sampai kemana-mana dengan bantuan angin.

Tuhan memudahkan urusannya sebab itu kehendak Tuhan untuknya. Beliau pula memanfaatkan semua kemudahan itu untuk meninggikan kalimah Tuhan. Dia tidak mengambil kesempatan kemudahan anuherah Tuhan itu untuk kepentingan dirinya.

Beliau sedar, sehebat mana pun dirinya, semua itu anugerah Tuhan jua.

Paling penting, mengapa Zulqarnain dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran. Beliau bukan nabi dan rasul. Namun, kisah beliau disebut dengan panjang lebar oleh Tuhan di dalam kitabnya. Kisahnya bakal dibaca oleh manusia sampai kiamat.

Di sana ada ribuan nabi, namun nama mereka tidak tersebut pun di dalam al-Quran. Di sana ada puluhan rasul, nama mereka tersebut tetapi tidak diceritakan dengan panjang seperti Tuhan memperihalkan Zulqarnain?

Adakah beliau lebih mulia daripada nabi dan rasul? Tidak, para nabi dan rasul lebih mulia daripadanya. Kalau begitu, mengapa begitu?

Inilah model pemimpin yang dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi, pemimpin di peringkat mana pun. Pemimpin mesti berilmu, bijak memanfaatkan kebolehan orang lain walau pun orang yang paling lekeh, sedar akan letak duduk diri sendiri dan sentiasa berusaha untuk melayakkan diri mendapat pertolongan Allah.

Sekurang-kurangnya kita semua adalah pemimpin kepada diri sendiri atau keluarga kita. Contohilah Zulqarnain, apatah lagi kalau kita adalah pemimpin sebuah JAMAAH ISLAM.

Tiada ulasan: