Ibu bapa terkejut anak berjudi
|
|
KUALA LUMPUR 19 Jun – Sepasang suami isteri yang baru pulang selepas menghadiri sambutan Hari Bapa bersama rakan-rakan mereka malam tadi, terkejut mendapati ramai polis berada di rumahnya.
Mereka yang sampai pada pukul 11.40 malam tambah terkejut apabila mendapati kehadiran polis itu untuk menahan anak bongsunya setelah terlibat dalam kegiatan pertaruhan Piala Dunia 2010.
Kekecewaan jelas terpancar di raut wajah kedua-dua mereka berusia 50-an yang kemudian terus memarahi pemuda berusia 22 tahun itu sejurus tiba di rumah di Setapak Jaya di sini.
Wanita yang enggan dikenali itu berkata, dia mengesyaki anaknya terlibat dalam perjudian apabila sering melihatnya menghabiskan masa di hadapan komputer.
“Dia ingat kami tidak tahu, dia main judi kerana kami buta huruf dan tidak pandai bermain komputer.
“Kami tahu apa yang dia buat, malah setiap hari kami menegur dan memarahinya tetapi dia degil,” ujarnya dalam nada kecewa ketika ditemui semasa polis membuat serbuan di rumahnya malam tadi.
Suaminya, seorang tukang kayu yang turut berang memberitahu, dia tidak kisah anaknya ditahan dan dimasukkan ke dalam lokap sebagai pengajaran kerana enggan mendengar nasihat orang tua.
“Tangkap dia bagus... Kasi masuk lokap. Hari-hari saya nasihat dia jangan main judi tapi dia tak mahu dengar,” katanya.
Anak pasangan terbabit merupakan antara tujuh yang ditahan oleh Unit Penggempur Bola Sepak dalam operasi besar-besaran yang dijalankan secara serentak di Lembah Klang dan Perak bermula pukul 7.30 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.
Serbuan diketuai Pegawai Pencegahan Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad.
Terdahulu, seorang pemuda berusia 22 tahun yang tinggal bersendirian di rumahnya semasa serbuan enggan membuka pintu sebaliknya cuba menimbulkan kekecohan sehingga menarik perhatian jiran-jirannya.
Dia bertindak demikian kerana menyangka polis yang menyerbu rumahnya adalah penjenayah tetapi akhirnya memberi kerjasama setelah melihat kad kuasa polis dan dipaksa membuka pintu.
Suspek dikenali sebagai Lee ketika ditemui mendakwa, dia diberi wang RM5,000 oleh seorang individu untuk bertaruh dalam Piala Dunia 2010.
“Saya bermain judi bola sepak sejak berlangsungnya Piala Dunia minggu lalu. Wang pertaruhan kepada bookie dibayar melalui akaun bank,” katanya yang kini terpaksa menanggung hutang RM5,000 kepada bookie setelah kalah dalam pertaruhan, malam tadi.
Jurujual telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di ibu negara yang memperoleh gaji RM2,000 sebulan ini berkata, dia memang tidak mempunyai wang RM5,000 untuk membayar bookie.
Katanya, oleh itu dia tidak menolak kemungkinan terpaksa meminjam wang daripada ah long untuk menjelaskan bayaran tersebut.
Lee kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pertaruhan 1953.
----------------------------respon : JIKA ASASNYA HARAM, TAK PERLU DISOKONG.. SOKONG MEMBAWA REBAH DAN MUSNAH MASYARAKAT.. LIHATLAH KES DI ATAS.. APAKAH PAS & PR TIDAK MEMBANTAH ISU NI??? SEKARANG, SUSAH IBUBAPA DAN SEMUA PIHAK..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan