Jumaat, Februari 25, 2011

Takziah kepada keluarga Hajjah Ilani! Bekas S46 tika dulu... terima kasih atas jasa selama ni

sumber
Subky Latif   
TAKZIAH dan simpati yang tidak terhingga buat waris dan keluarga Datuk Ilani Ishak, anggota Exco Wanita Umno yang meninggal kerana penyakit kanser.

Ilani seorang peguam yang mudah didekati. Dia seorang anggota Umno yang ada peranannya dalam perkembangan Muslimat PAS terlibat secara langsung dalam politik pilihan raya.

Ilani seorang yang setia kepada partinya, tetapi seorang Umno mazhab Tengku Razaleigh. Dia bersama Tengku Razaleigh pernah terkeluar dari  Umno dan bersamanya juga kembali dalam Umno.

Dia pernah menjadi anggota Parlimen Kota Bharu tetapi tidak pernah menjadi wakil rakyat Umno dan Barisan Nasional. BN tidak pernah mencalonkannya. 

Ilanilah yang mengalahkan Tengku Ahmad Rithaudeen, seorang menteri kanan BN dengan majoriti undi yang besar dalam tahun 1990.

Tengku Rithaudeen adalah tokoh Umno yang dapat menembusi kubu PAS memenangi Pilihan Raya  Umum 1969. Ilani baru kali pertama menjadi calon. Dia berjaya mengakhiri politik Ku Din.
Pemberontak Umno ini tidak disokong oleh orang Umno,   tetapi dia disokong oleh pengundi PAS Kota Bharu. Apabila dia kembali ke pangkuan Umno, dia kekal sebagai orang kuat Wanita  Umno saja.
Saya kenal rapat dengan Ilani semasa dia menjadi ketua Wanita Semangat 46 yang bekerjasama dengan PAS dalam gagasan Perduan Ummah. Dia seorang ahli politik yang bekerja keras untuk menjadi calon.

Politik PAS masa itu tidak menampilkan Muslimat sebagai calon. Paling akhir PAS meletakkan calon Muslimat ialah dalam PRU 1969, Ustazah Salmah Sheikh Hussein menentang Datin Fatimah Hashim di Kubang Pasu.

Bagaimana Ilani mahu menyertai pilihan raya kalau PAS tidak tertarik dengan calon wanita? Rata-rata pemimpin Semangat 46 berpandangan orang PAS tidak akan mengundi calon wanita.
Ilani mahu menjadi calon dan Wanita Semangat 46 bersemangat supaya ketuanya diberi tempat. Pada Tengku Razaleigh kalau wanita hendak menjadi calon mewakili Angkatan Perpaduan Ummah, maka tempatnya bukan di Kelantan tetapi di tempat PAS tidak kuat.

Ilani bertemu dengan Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika itu.
Dia mengemukakan pandangannya kepada Ustaz Fadzil bahawa Wanita Semangat 46 bekerja keras untuk memenangi pilihan raya. Mereka mahu dia bertanding, tempatnya ialah di Kelantan. Tetapi kalau PAS tidak bersetuju calon wanita, maka semangat wanita yang menyokongnya akan tawar. Mereka tidak akan bekerja kuat. Bagaimana hendak menang?

Ustaz Fadzil memahami masalah yang dihadapi oleh Ilani. Realiti politik yang ikut memenangkan calon masa itu ialah kuatnya Wanita Umno bekerja. Ustaz Fadzil simpati kepada Ilani dan boleh menerima pandangannya.

Tetapi masalahnya ialah apa pula pandangan ketua PAS Kota Bharu, Ustaz Mawardi Ahmad. Dia seorang ulama yang konservatif. Adakah dia boleh menerima calon wanita di kawasannya.
Kata Ustaz Fadzil kepada Ilani, dia tidak ada masalah untuk menerima Ilani menjadi calon tetapi adakah Ustaz Mawardi bersetuju.

Kata Ilani, dia sudah bertemu dengan Ustaz Mawardi. Ustaz Mawardi tidak ada masalah.
Ustaz Fadzil pun memberitahunya, kalau Ustaz Mawardi tidak bermasalah, maka dia pun tidak bermasalah lagi.

Dalam perbincangan bagi menentukan calon antara PAS dan Semangat 46, Tengku Razaleigh memberitahu Ilani, dia tidak boleh bertanding kerana PAS tidak mengundi calon wanita.
Kata Ustaz Fadzil pada Tengku Razaleigh, ‘Bagi dia bertanding.’
Maka Ilani pun bertanding menentang Ku Din. Penyokong PAS Kota Bharu termasuk tenaga Muslimatnya bekerja kuat memberi sokongan kepada Ilani dan mereka melupakan tentang Ilani pernah menjadi orang kuat Wanita Umno.

Semangat 46 meletakkan dua calon wanita di Kelantan. Kedua-duanya menang dan Barisan Nasional kalah semua kerusi di Kelantan. Tahun itu – 1990 – PAS merampas kembali Kelantan dari  Umno dan Tok Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar.

PAS tidak meletakkan calon Muslimat. Selepas perkembangan itu PAS mengambil langkah menampilkan semua calon Muslimat. Tidak ditolak bahawa penampilan Ilani membuka semula ruang bagi PAS dan Muslimatnya dan dia membantu PAS berkuasa semula di Kelantan. Tetapi dukacita Ilani tidak bersama seterusnya parti kerajaan Kelantan kerana dia kembali semula ke dalam Umno.

Setelah tamat penggalnya Ilani tidak lagi menjadi wakil rakyat.
Moga-moga rohnya dicucuri rahmat.

Tiada ulasan: