Khamis, Februari 10, 2011

Doakan keselamatan rakyat Mesir esok. HANCUR HUSNI! HANCUR HUSNI!









Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 10 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru seluruh rakyat negara ini khususnya beragama Islam mengadakan solat hajat dan berdoa untuk keselamatan rakyat Mesir yang akan berarak menuju ke Istana Presiden, Hosni Mubarak di Abdeen, Cairo esok.

Exco Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor berkata, esok merupakan kemuncak bantahan rakyat Mesir yang mahu Mubarak berundur dan dijangkakan akan berlaku pertembungan besar antara rakyat dan tentera regim.

"Dijangka esok akan berlaku pertembungan antara regim Mubarak yang akan mempertahan kedudukan mereka habis habisan dengan kemarahan rakyat yang berada di kemuncaknya selepas masuk minggu ke 3 desakan mereka tidak dihiraukan.

"Saya merayu umat Islam, gerakan Islam dan NGO untuk solat hajat dan mendoakan kemenangan rakyat Mesir untuk menumbangkan Mubarak," katanya selepas menyampaikan kuliah bulanan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (Bakkah) di pejabat Harakah di sini tengahari tadi.

Dalam kuliahnya berkaitan revolusi rakyat Mesir sebelum itu, beliau berkata perjuangan untuk menumbangkan regim Mubarak bermaksud membantu umat Islam Palestin dan rakyat Timur Tengah yang ditindas sejak bertahun lamanya oleh regim yang dibelakangi Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, lebih sejuta rakyat Mesir dijangka akan mengadakan perarakan raksasa menuju ke Istana Mubarak esok bagi mendesak presiden Mesir itu berundur tanpa syarat.

Difahamkan perarakan esok akan dipimpin Persatuan Peguam-peguam Mesir yang kini sedang merancang persiapan berdepan sebarang keadaan esok.

Bagi rakyat Mesir, hari Jumaat adalah hari minggu dan hari berkumpul bukan sahaja kerana ada solat Jumaat namun juga esok disifatkan mereka sebagai hari penentu masa depan mereka.

Pada Jumaat lalu, himpunan rakyat Mesir juga telah mencetuskan rasa gusar Mubarak sehingga beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan menawarkan untuk tidak bertanding lagi pada pilihan raya Presiden September depan.

Tawaran itu bagaimanapun ditolak rakyat negara teluk itu yang mahu Mubarak berundur serta merta dan tidak mahu lagi bermain dengan janji politik presiden Mesir itu.

Dilaporkan sejumlah 300 orang rakyat Mesir telah meninggal dunia sejak bantahan aman bermula Jumaat, 28 Januari lalu.

Tiada ulasan: