Isnin, Februari 28, 2011

Rockers pun kena ikut Rasulullah pesanan Ust Riduan

sumber

Ismail Hashim
  
SHAH ALAM, 27 Feb: Jadilah sebagai sesiapa pun di dunia ini termasuk anggota kumpulan dan peminat rockers, namun setiap orang mestilah ingat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh ikutan terbaik kepada semua.
Ingatan itu dititipkan oleh Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Nor yang bercakap di dalam majlis tazkirah sempena Ijtima' Rockers yang diadakan di pekarangan Stadium Malawati, malam tadi.
Majlis Green Zone itu diadakan sebagai aktiviti sampingan ketika mana peminat Maher Zain yang sempat membeli tiket menikmati dendangannya di dalam stadium, mereka yang datang namun tidak dapat masuk boleh mengikuti hiburan di luar.
Beberapa kumpulan rock telah mengadakan persembahan namun terbaiknya kerana boleh dikatakan setiap lagu dimasukkan unsur ketuhanan dengan lirik puitis dilagukan mereka sama ada secara solo atau berkumpulan.
Berselang seli dengan nyanyian rock itulah, Riduan menjelaskan keperluan semua manusia kembali kepada Allah dan Rasulnya dalam usaha menjayakan kehidupan sebagai Muslim di atas dunia penuh cabaran ini.
"Rabiul Awwal yang kita sambut bukan sahaja merupakan tarikh kelahiran Nabi kita, ia juga adalah bulan kewafatan dan peristiwa hijrah Nabi Muhammad daripada Makkah ke Madinah dalam usaha penegakan sebuah Negara Islam," tegasnya.
Beliau juga menyatakan keperluan menjadikan Nabi sebagai ikutan walaupun mereka berambut panjang atau pendek, berjanggut atau bermisai, suka kumpulan Loudness, Scorpion atau Deep Purple, mereka wajar ingat cintai Nabi adalah wajib.
Sebagai orang muda, jelasnya, boleh mendengar lagu namun mereka hendaklah berikan masa untuk mengkaji bagaimana Nabi mengubah sistem kehidupan jahiliah daripada buruk kepada terlebih baik.
"Sebagai orang muda, kita hendaklah menjadikan kehidupan kita menjadi lebih manfaat, ya kita berhenti sekejap untuk beri laluan kepada adik kita untuk meneruskan persembahan dan kita jumpa lagi selepas ini," jelasnya.
Banyak acara lagi yang diadakan sepanjang sehari program Green Zone ini termasuklah acara pertandingan nyanyian lagu Maher Zain dan sebagainya di mana hadiah kepada pemenang disampaikan sendiri oleh Maher.

Tiada ulasan: