TERKINI @ 06:38:34 AM 12-02-2011
February 12, 2011
KAHERAH, 12 Feb — Presiden Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan kebangkitan rakyat - meletakkan jawatan pada hari ke-18 demonstrasi semalam (tengah malam waktu Malaysia).Naib Presiden Omar Suleiman mengumumkan Hosni sudah menyerahkan kuasa kepada pihak tentera yang mengetuai sebuah majlis berkuasa tinggi.
Mengumumkan peletakan jawatan Hosni, Omar berkata kuasa diserahkan kepada tentera.
“Presiden Hosni Mubarak telah memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai presiden republik ini dan telah meminta majlis berkuasa tinggi tentera mentadbir hal ehwal negara,” katanya dalam satu ucapan menerusi TV kerajaan tengah malam tadi (waktu Malaysia).
“Semoga Tuhan membantu (anda) semua,” katanya lagi.
Menyusul pengumuman Omar ialah kenyataan pihak tentera.
Kenyataan itu menghargai tindakan Hosni tetapi mengakui kuasa popular rakyat yang membawa perubahan.
“Tiada legitimasi kecuali (kuasa) rakyat,” kata kenyataan itu.
Perintah tertinggi tentera itu diketuai oleh Menteri Pertahanan Mohamed Hussein Tantawi.
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata Mesir mesti bergerak ke arah pemerintahan awam dan demokratik.
“Rakyat Mesir sudah bercakap, suara mereka sudah didengar,” katanya.
“Mesir tidak akan sama seperti sebelum ini,” kata beliau lagi.
Pengumuman Omar itu disambut dengan gembira oleh penunjuk perasaan yang turut bersalam dengan tentera yang berkawal di Kaherah dan sorakan kejayaan.
Beberapa jam sebelum Omar membuat pengumuman laporan awal menyebut Hosni telah meninggalkan ibu negara Mesir bersama keluarganya sementara momentum tunjuk perasaan yang masuk hari ke-18 terus meningkat - sehari selepas presiden itu menegaskan tidak akan berundur segera.
Pihak tentera pula berjanji akan menarik balik perintah darurat yang dikuatkuasakan sejak tiga dekad lalu selepas keadaan semasa reda.
Hosni memerintah negara itu sejak 1981 dan kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat.
Laporan NBC News berkata, Hosni meninggalkan Kaherah untuk menuju resort Laut Merah Sharm el-Sheikh.
Laporan itu menyebut Hosni meninggalkan ibu negara, salah satu lokasi demonstrasi sejak tiga minggu lalu, bersama keluarganya dari pangkalan tentera Almaza.
Bagaimanapun laporan stesen TV Al-Jazeera yang dipetik msnbc pula berkata, Hosni sudah pum meninggalkan Mesir dan terbang ke Emiriah Arab Bersatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan