Selasa, Februari 08, 2011

Merlimau: Gelanggang dakwah ke-15 Oleh Majdan Dagang

Merlimau: Gelanggang dakwah ke-15
Majdan Dagang   
Pilihan Raya Kecil (PRK) telah berlalu dan Umno berjaya mempertahankan kerusi mereka. PAS kalah dari segi angka, namun hakikat sebenar perjuangan dakwah Islam dianggap berjaya. Harus diingat, PAS bukan sekadar parti politik yang berdaftar secara sah mengikut perlembagaan, tetapi juga sebagai jemaah yang memikul tanggungjawab dakwah kepada orang Islam dan bukan Islam.

Hal ini memang jelas diketahui dan didokongi oleh pimpinan, ahli dan penyokong yang faham akan perjuangan PAS. Oleh sebab itu lah parti Islam ini menyertai pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak belum merdeka lagi walaupun sedar bahawa pertandingan tersebut tidak memihak kepada mereka.

PRK Dun Tenang, Johor misalnya, walalupun sedar bahawa PAS memasuki gelanggang untuk “kalah”, namun atas dasar dakwah parti itu tetap memberikan cabaran. Terbukti, walaupun kalah dari segi undi, isu calon PAS yang enggan bersalam dengan lelaki ajnabi (kemudiannya calon memakai sarung tangan) telah menyerlahkan sikap hipokrit Umno dalam menyampaikan kefahaman Islam. Umno bukan sahaja tidak menyampaikan etika Islam kepada rakan-rakan bukan Islam bahkan gagal menyatakan perihal Islam yang sebenar kepada ahlinya yang mengaku beragama Islam.

PAS kini bukan sahaja berjaya mentarbiah kebanyakan ahlinya tentang Islam yang syumul bahkan kini berjaya menyampaikan pula penerangan tentang Islam kepada rakan-rakan bukan Islamnya. 

Dalam isu bersalam tangan, rakan-rakan bukan Islam yang bersama-sama PAS telah memberi penerangan tentang adab dan budaya agama Islam kepada orang ramai dan meminta mereka menghormati pendirian Islam tentang isu tersebut. Bukankah ini salah satu kejayaan PAS dalam menerangkan Islam?

Tiada ulasan: