Khamis, Oktober 22, 2009

Indonesia juga Boleh!

Cabaran Kabinet baru Susilo(utusan.com.my)

JAKARTA 21 Okt. – Selepas mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai Presiden Indonesia semalam, Susilo Bambang Yudhoyono dalam ucapan sulungnya menetapkan tiga peringkat sasaran pencapaiannya.

Susilo menetapkan program untuk dicapai dalam tempoh 100 hari pemerintahan, setahun pemerintahan dan lima tahun pemerintahan. Di dalam tiga rancangan pembangunan itu perkara asas yang mahu dicapai adalah kemakmuran, demokrasi dan kesaksamaan.

Susilo turut membakar semangat rakyatnya untuk bersama-sama dengannya mencapai matlamat yang ditetapkan melalui slogan baru iaitu

`Indonesia Boleh'.

Memang jelas sejak awal lagi sasaran Susilo untuk penggal kedua pemerintahannya adalah melakukan reformasi di dalam bidang ekonomi apabila memilih bekas Gabenor Bank Indonesia, Boediono sebagai Naib Presiden.

Boediono kini diperlukan untuk merangka rancangan pembangunan tiga peringkat yang telah dinyatakan oleh Susilo tersebut.

Secara ringkas program lima tahun itu mencakupi usaha di dalam negeri iaitu dengan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan ekonomi berlandaskan peningkatan daya saing, pengelolaan sumber asli dan sumber manusia.

Pada masa yang sama, pertumbuhan ekonomi akan ditebarkan ke seluruh pelosok negara bagi memastikan ia dinikmati oleh seluruh rakyat. Dari segi keadilan pula, usaha akan dilakukan bagi mencipta keadilan yang lebih baik iaitu tanpa diskriminasi dan memberi perlindungan bagi golongan yang lemah.

Bagi dasar luar negara, Indonesia akan menjalankan dasar politik secara bebas dan aktif dalam memperjuangkan keadilan dan perdamaian dunia serta bekerjasama dengan siapa juga yang mempunyai niat dan tujuan yang sama. Tidak ketinggalan usaha untuk penyelamatan bumi daripada perubahan iklim dan mewujudkan kawasan ASEAN yang damai, sejahtera dan dinamik.

Bagi semangat `Indonesia Boleh' pula ia merangkumi semangat tidak pernah mengalah, menjaga perpaduan dan memelihara jati diri.

Bagi memantapkan lagi usaha itu beliau mengekalkan Menteri Kewangan, Sri Mulyani yang telah berjaya membawa Indonesia menempuh badai krisis ekonomi global dengan selamat. Kerja berkenaan menjadi bertambah jitu dengan pelantikan Menteri Setiausaha Negara ke jawatan baru iaitu Menteri Perekonomian.

Tanggungjawab baru yang diberikan kepada Hatta setakat ini mendapat reaksi yang positif daripada peserta ekonomi yang yakin dengan kemampuan beliau.

Tiga nama berkenaan dinilai akan memberi kesan positif terhadap usaha di dalam bidang ekonomi makro, sektor kewangan dan pasaran modal serta pembangunan industri yang sekali gus akan mengatasi masalah pengangguran dan menurunkan kadar kemiskinan.

Namun usaha itu akan berhadapan dengan cabaran yang bukan sahaja dari dalam negara, bahkan membabit masalah global. Cabaran yang bakal dihadapi ialah dalam menggalakkan pelaburan langsung asing ke Indonesia dalam situasi krisis ekonomi global dan pada masa yang sama pelaburan dalam negeri juga perlu ditingkatkan.

Isu yang menjadi hambatan kepada usaha-usaha itu adalah masalah birokrasi yang banyak dan pelbagai peraturan yang bertindih di peringkat pusat dan daerah.

Selain itu kemudahan infrastruktur juga masih tidak mencukupi. Pembinaan jalan-jalan baru, pelabuhan-pelabuhan baru serta lapangan terbang perlu diberi perhatian.

Dari segi ekonomi makro, perkara yang paling utama harus diatasi adalah faedah pinjaman bank yang terlalu tinggi di Indonesia sehingga ia tidak selaras yang ditetapkan oleh Bank Indonesia.

Pada masa yang sama, Susilo dan Kabinet barunya tidak harus mengendurkan usaha pembanterasan rasuah, kemiskinan dan pengangguran kerana tempoh lima tahun adalah singkat dan undang-undang di Indonesia telah menetapkan seorang presiden tidak boleh memerintah lebih daripada dua penggal.

Memang jika dilihat terlalu banyak yang harus dilaksanakan dalam tempoh lima tahun itu, tetapi dengan usaha gigih Susilo dan Kabinet barunya ia tidak mustahil dan jika tiga perkara itu dapat diatasi oleh Susilo, pastinya mereka akan dikenang sebagai pemimpin Indonesia paling berjasa serta berjaya. – Utusan

----------------------- mahkamah-akhirat :

alhamdulillah.. isu 'panas' baru-baru ni agaknya dah sejuk.. namun, harus diingat bahawa syaitan akan menghasut agar manusia akan bergaduh sesama sendiri... mudah2an malaysia indonesia akan menjaga ikatan ukhwah yang memang utuh sejak dulu lagi..

Tiada ulasan: