Selasa, April 20, 2010

Iceland terus digegar letusan. Kuasa Allah, boleh stop puluhan ribu penerbangan?

Iceland terus digegar letusan


KREW filem bagi penerbitan National Geographic membuat penggambaran di atas glasier Eyjafjallajokull di Iceland, dekat dengan gunung berapi yang meletus, kelmarin. - AP


REYKJAVIK 19 April - Kawasan luar bandar Iceland digegarkan semalam dengan gegaran-gegaran kuat daripada gunung berapi Eyjafjallajokull, yang terus menghamburkan abu yang menyebabkan berpuluh ribu penerbangan di seluruh Eropah dibatalkan.

Ibu negara, Reykjavik dan pusat-pusat penempatan lain terselamat daripada pencemaran tersebut apabila kepulan abu dari Eyjafjallajokull bergerak ke tenggara menghala ke benua Eropah, tetapi peladang dan ternakan di Iceland terpaksa berlindung di dalam bangunan apabila kawasan sekitar diselubungi abu.

Pejabat Meteorologi Iceland melaporkan, gegaran-gegaran daripada gunung berapi itu kini semakin kuat tetapi kepulan abu tebal yang diletuskannya reda sedikit kepada ketinggian antara 4 hingga 5 kilometer berbanding setinggi 11 kilometer apabila ia mula meletus awal minggu lepas.

"Kita menyaksikan isyarat bercampur-campur. Ada tanda-tanda menunjukkan letusan akan reda, tetapi ada tanda lain menunjukkan keadaan sebaliknya," kata pakar geofizik di Pejabat Meteorologi, Einar Kjartansson.

Letusan itu berlaku di bawah glasier Eyjafjallajokull, lazimnya kawasan popular di kalangan pengembara yang gemar berjalan kaki, kira-kira 120 kilometer ke tenggara ibu negara, Reykjavik.

Kjartansson percaya gunung berapi tersebut telah mencairkan kira-kira 10 peratus daripada glasier tetapi proses pencairan mungkin bertambah perlahan dalam tempoh beberapa jam lalu.

Tempoh berbulan-bulan lagi mungkin diperlukan untuk gunung berapi itu mencairkan seluruh glasier, sehingga wap dan abu bertukar menjadi lahar, jelas beliau. - Reuters

Tiada ulasan: