


"Kenyataan itu menggemparkan masyarakat. Kita telah menerima sebanyak 49 laporan polis setakat ini dan ini akan disiasat secara menyeluruh.
"Ia telah menyakitkan hati ahli-ahli pasukan keselamatan negara dan juga ahli keluarga mereka yang terkorban semasa tragedi Bukit Kepong," katanya kepada pemberita selepas melawat Kanopi Ops Sikap di Jalan Sungai Buloh menghala Kuala Selangor hari ini.
"Saya rasa dia kurang buka buku sejarah atau bertanya pada mereka yang tahu mengenai sejarah tragedi itu. Dia patut pergi melawat kawasan itu dan tengok dengan mata dan kepalanya sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu pada sidang akhbarnya hari ini berkata laporan Utusan pada 27 Ogos lalu mengenai ceramahnya di di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu adalah "satu putar belit dan tokok tambah cerita untuk memfitnahnya dan PAS".
"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan laporan muka depan dan muka lima Utusan (27 Ogos) dan kecaman berterusan akhbar (itu) bertarikh 28 Ogos, saya dapati Utusan telah memutar belit (dan) menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan PAS," katanya.

Akhbar itu pula, kata Mohamad, hanya menyiarkan laporan mengenai ceramahnya di Pulau Pinang itu selepas semingggu.
"Saya ceramah 21 Ogos, Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan pagi ini saya mendengarnya," kata Mohamad.

Sementara itu, Bernama juga melaporkan dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang yang mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mat Sabu tersebut.
Laporan polis berasingan itu dibuat oleh Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Presiden Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah kira-kira pukul 4 petang tadi bersama beberapa badan bukan persatuan lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan