Isnin, Ogos 08, 2011

PAS akan jumpa Jais, gereja!!! BARU KAU TAHU SIAPA PAS..

SUMBER
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 7 Ogos: PAS akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan pihak gereja bagi mendapatkan penjelasan mengenai serbuan Jais ke atas Gereja Methodist, Damansara Utama, minggu lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong atau menyalahkan mana-mana pihak sebelum mendapat penjelasan terperinci berhubung perkara ini.

"PAS akan berjumpa secara langsung dengan Jais dan pihak gereja apabila mereka memberikan tarikh.

"PAS mesti mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkenaan dan tidak timbul kenyataan sokong mana-mana pihak," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa pusat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan Jais melakukan pemeriksaan terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.

Katanya, PAS akan berhubung dengan pihak Jais dan gereja mengikut tarikh yang sesuai untuk mendapat gambaran dan penjelasan langsung mengenai pemeriksaan tersebut.

“Selepas jumpa, baru buat keputusan,” ujarnya.

PAS, jelasnya menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan selanjutnya berhubung pemeriksaan Jais itu.

Puas hati penjelasan Hassan Ali

Minggu lalu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Jais itu.

Ditanya pendirian PAS terhadap Dr Hassan, Ustaz Hadi berkata parti telah mendengar penjelasan beliau dalam mesyuarat dan berpuas hati dengan penjelasannya.

"Kita tak bincang apa-apa ketetapan pun terhadap Dr Hassan dan beliau datang hari ini kerana menghadiri mesyuarat ajk, bukan kerana dipanggil," jelas beliau.

Beliau turut mendakwa isu ini sengaja dibesar-besarkan untuk menutup isu penduduk tetap (PR) diberi kad pengenalan biru dan didaftarkan sebagai pengundi untuk pilihan raya umum ke-13.

"Kita tahu isu ini sengaja ditimbulkan untuk menenggelamkan isu pemberian kad pengenalan (biru) kepada penduduk tetap.

"Tapi PAS akan terus turun ke medan bagi mendapatkan penjelasan kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu Ustaz Hadi memberitahu mesyuarat hari ini tertumpu kepada persiapan PRU ke-13 khususnya mengenai isu pembersihan dalam sistem pilihan raya.

"PAS bincang tentang PRU walaupun tarikh pilihan raya masih menjadi teka-teki.

"Daftar pemilih masih tidak bersih dan kita mahu daftar pemilih dibersihkan segera," katanya.

Tiada ulasan: