Selasa, Ogos 16, 2011

De Palma terus perkasa hotel pematuhan syariah. JOM TRY!!!

SUMBER
Mohd Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Rangkaian Hotel De Palma terus mengorak langkah dengan kini memasuki tahun keempatnya mengamalkan konsep pematuhan syariah.







Keempat-empat rangkaiannya iaitu di Ampang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Sepang kini terus menjulang nama antara menjadi pilihan masyarakat bukan sahaja rakyat tempatan malah mereka dari luar negara.
(Datuk Ilyas...Pengurus Besar Kumpulan hotel De Palma)
Ini kerana hotel milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ini mempunyai keunikannya tersendiri iaitu sebagai peneraju kepada konsep pematuhan syariah dan menerapkan konsep dakwah kepada pengunjung mereka.

Kejayaan mereka menempa nama setanding dengan hotel konvensional terkemuka negara yang lain sudah tentu dipacu pasukan pengurusannya yang diketuai Pengurus Besar Kumpulan, Datuk Ilyas Zainol Abidin (gambar) yang komited memastikan setiap aspek di hotel ini mematuhi perinsip syariah sepenuhnya.

"Syariah ini bukan setakat memberi salam, berpakaian tutup aurat dan makanan halal sahaja.

"Kita di De Palma ini menerapkan konsep syariah ini melalui program tazkirah, solat jemaah setiap waktu dan qiamullail," ujarnya.

Bukan sahaja pengurusan tertinggi, malah pekerjanya di setiap peringkat juga turut diberi kefahaman agama secukupnya sebelum diberi amanah berkerja di sini.

Mengakui memulakan sesuatu yang baru bukan kecil resikonya, beliau bagaimanapun yakin usaha dakwah yang dilakukan akan diganjar sebaiknya oleh Allah SWT.

"Pada mulanya takut juga, tapi rezeki Allah yang tentukan. Saya buat hotel syariah ni atas dasar kesedaran, bukan perniagaan semata-mata.

"Iltizam saya mahu pengunjung yang datang bukan sahaja dapat menginap di sini malah boleh mengikuti program ibadah yang kita tawarkan. Ini beza kita dengan hotel-hotel lain.
(Berterawih secara berjamaah menjadi tradisi di De Palma Ampang.)
"Kita ada imam tetap di surau, kita susun ustaz-ustaz beri tazkirah selepas solat dan bulan Ramadhan ini kita jemput imam dari dalam dan luar negara imamkan solat tarawih," ujarnya menjelaskan bahawa surau nadi utama kepada rangkaian hotel ini.

Menurutnya lagi, selain menyedari pematuhan syariah itu satu kewajipan, beliau juga mahu menawarkan pilihan lain kepada masyarakat khususnya orang Islam yang selama ini hanya mempunyai satu pilihan iaitu hotel dengan konsep konvensional yang lebih kepada gaya hidup barat.

Dengan adanya De Palma, masyarakat Islam kini ujarnya tidak perlu lagi ragu-ragu untuk menginap di hotel malah mereka di sini dirangsang untuk menunaikan ibadah kepada Allah.

Menyediakan perkhidmatan mematuhi syariah tersebut sekaligus menyempurnakan satu tuntutan fardu kifayah ke atas umat Islam.

"Usaha saya adalah untuk memberi pilihan kepada masyarakat.

"Apa maknanya jika kita menginap ditempat yang hebat, makan di tempat yang hebat, tapi akhirnya dipersoal oleh Allah SWT kelak.

"Jangan pandang jenama sahaja. Di mata Allah tidak ada perbezaan jenama besar atau kecil, yang ada kita ikut hukum atau tidak," katanya lagi.

Kejayaan De Palma ini sekaligus telah membuka mata pengusaha hotel seluruh dunia bahawa konsep pematuhan syariah merupakan satu lagi produk yang boleh dikomersialkan.

Apatah lagi mereka menyedari bahawa masyarakat beragama Islam sangat ramai di mana-mana negara.
(Menjadi tradisi De Palma memberikan bubur lambuk percuma di bulan Ramadhan kepada orang ramai.)
"Saya sendiri yakin dengan apa yang kita sudah lakukan dan kita akan terus memperkukuhkan konsep ini.

"Yang kita mahu, kewajipan kita jaga, keuntungan pun kita jana,"katanya.

Tawaran istimewa


Sempena Ramadhan tahun ini pula, seperti biasa program dakwah di hotel ini disusun padat demi memastikan pengunjung tidak terlepas untuk menghidupkan ibadah sepanjang masa di bulan penuh barakah ini.

Bermula qiamullail jam 4 pagi diikuti sahur dan kemudiannya solat Subuh berjemaah.

Begitu juga setiap waktu solat fardu yang lain yang akan disusuli tazkirah ringkas sejurus selesai solat.

Selain tarawih, Ramadhan di De Palma turut diisi dengan tadarus al-Quran, ceramah, zikir munajat dan program kerohanian yang lain.

Bagi kemudahan pengunjung juga, pihak hotel turut menyediakan kaunter pembayaran zakat fitrah.

Kesemua kemudahan yang disediakan ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh penginap hotel ini, malah masyarakat di sekeliling juga.

Sebagai menunaikan tanggungjawab sosial mereka pula, amalan tradisi mengagihkan bubur lambuk percuma kepada orang ramai diteruskan.

Sekurang-kurangnya tiga periuk besar bubur lambuk disediakan setiap hari.

Selain itu, mereka juga turut meraikan gologan kurang berkemampuan termasuk anak-anak yatim yang diundang berbuka di sini.

Bagi mereka yang berhasrat mahu berbuka sambil beribadah sempena Ramadhan ini, bolehlah berkunjung ke mana-mana rangkaian hotel ini.

Dengan pakej berbuka serendah RM68 untuk dewasa dan RM35 untuk kanak-kanak, anda boleh menikmati pelbagai menu citarasa warisan di sini.

Lebih istimewa, pengunjung yang berbuka di sini turut akan dihiburkan oleh persembahan ghazal Sri Kencana.
(Cetak iklan di bawah dan dapatkan potongan khas harga bilik apabila berkunjung ke rangkaian hotel De Palma)

Tiada ulasan: