Isnin, Ogos 08, 2011

Sidang tergempar: PAS serah surat pada PM esok (hari ini 8/8/2011)

sumber
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 7 Ogos: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menghantar surat kepada Perdana Menteri esok meminta sidang Parlimen tergempar diadakan bagi membincangkan isu keselamatan negara.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, ianya ekoran pendedahan media minggu lalu mengenai pendaftaran pemegang kad pengenalan bertaraf penduduk tetap (PR)  kepada warganegara dalam tempoh sehari.
"Esok jam 12 tengahari di bangunan Parlimen saya bersama ahli Parlimen Pakatan yang lain akan menghantar surat kepada Perdana Menteri meminta sidang khas Parlimen ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, isu ini perlu dibincangkan secara serius kerana ia merupakan pengkhianatan kepada negara.
Beliau juga tidak menafikan ianya merupakan satu konspirasi pihak tertentu untuk mendapatkan kemenangan pada pilihan raya umum ke-13.
"Kita yakin wujud konspirasi dalam perkara ini," katanya.
Minggu lalu, media mula mendedahkan berkaitan PR yang memegang kad pengenalan merah bertukar status kepada warganegara dan mendapat kad pengenalan biru serta didaftarkan sebagai pengundi.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata isu ini telah lama berlaku dan pernah terbukti di mahkamah di Sabah bahawa penduduk Myanmar didaftarkan sebagai warganegara.
"Isu daftar pemilih ini pernah dibuktikan di mahkamah dan nampaknya sehingga kini kerajaan tidak pernah berhenti mendaftarkan warga asing untuk mengundi," katanya.

Tiada ulasan: