Isnin, Ogos 01, 2011

BILA TPM MENAKUTKAN PM...

SUMBER
Abdul Aziz Mustafa   
KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka mengakui bahawa beliau begitu takut kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Secara terbuka Najib membuktikan kepada seluruh dunia beliau begitu takut kepada Muhyiddin apabila beliau tak mahu mengulas kenyataan timbalannya itu bahawa beliau orang Melayu dahulu, kemudian barulah orang Malaysia.

"Kenyataan Muhyiddin itu dilihat umum sebagai penentangan kepada konsep 1Malaysia yang dikatakan diajar kepada Najib oleh firma Yahudi Zionis, Apco Worldwide yang kemudiannya dijerit-jeritkan olah beliau di sana sini setiap hari seolah-olah ia adalah ideanya sendiri," katanya.

Bagi Mahfuz, keengganan Najib menjawab soalan mengenai kenyataan Muhyiddin itu juga membuktikan Najib sanggup mengetepikan hampir apa sahaja termasuk konsep 1Malaysia yang dijajanya kerana ketakutannya yang amat sangat kepada Muhyiddin.

"Bagi Najib, tidak mengapa beliau ketepikan propaganda yang dijerit-jeritkannya setiap hari itu asalkan beliau tidak dilihat cuba menentang atau mencabar ketegasan timbalannya yang menekankan bahawa beliau orang Melayu dahulu kemudian barulah orang Malaysia," katanya.

Beliau menyifatkan Najib begitu bermasalah kerana selepas setiap hari diejek dengan tuduhan "takut bini", kini beliau sendiri yang membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa beliau begitu takutkan timbalannya.

Mahfuz juga melihat rasa takut kepada Muhyiddin yang dizahirkan secara terbuka oleh Najib kepada seluruh dunia itu juga menjadikan perpecahan antara mereka sebagai perpecahan terbuka.

"Ia bukan rahsia lagi kerana secara terbuka Najib memperlihatkan ada perpecahan antara beliau dan timbalannya. Ia menunjukkan kepada umum tentang krisis dalaman yang dilihat semakin parah di dalam Umno," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan Najib yang tergesa-gesa membatalkan cutinya dan segera pulang ke Malaysia baru-baru ini mempunyai kaitan dengan krisis dalaman tersebut.

"Semua orang tahu kemampuan Muhyiddin dalam soal seperti itu. Kejatuhan (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi) dahulu dilihat hasil dari usaha yang diterajui oleh beliau," katanya.

Ketika menjawab soalan para peserta Persidangan Tahunan Pemimpin Pelajar Malaysia ke-5 di ibu negara semalam, Najib enggan menjawab soalan mengenai kenyataan Muhyiddin itu.

"Saya tidak akan jawab soalan yang akan menyebabkan perpecahan di antara saya dan timbalan saya. Di Malaysia, ini amat bahaya.

"Orang akan dakwa, perdana menteri dan timbalannya tidak lagi sehaluan,” kata Najib.

Muhyiddin bukan sahaja menegaskan bahawa beliau Melayu dahulu di dalam Dewan Rakyat pada 31 Mac tahun lalu, malah mengulanginya beberapa kali selepas itu termasuk dalam persidangan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Kenyataan beliau dikecam pelbagai pihak termasuk komponen Barisan Nasional (BN) seperti Gerakan.

Kenyataan itu juga disindir oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz apabila beliau berkata: "Saya adalah rakyat Malaysia terlebih dahulu dan kemudian baru saya orang Melayu. Apakah mana-mana pentaksub ada masalah dengan soal ini?"

Malah, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Muhyiddin tidak faham 1Malaysia berikutan kenyataannya itu.


"Bukan seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kata beliau Melayu dulu baru warga Malaysia dan bukan juga seperti Datuk Seri Nazri Aziz yang kata beliau warga Malaysia dulu baru Melayu. Saya faham 1 Malaysia tapi mereka tidak," kata Ibrahim.

Tiada ulasan: