SUMBER
22/08/2011 3:00pm
KOTA KINABALU 22 Ogos — Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama (2011) sebanyak RM1.394 bilion.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang juga Menteri Kewangan Sabah ketika membentangkan rang undang-undang itu pada persidangan DUN, berkata sebahagian besar daripada peruntukan tambahan tersebut iaitu RM1.088 bilion tidak melibatkan aliran tunai, tetapi diperlukan semata-mata untuk mematuhi kehendak peraturan kewangan.
"Peruntukan tambahan ini adalah untuk beberapa kepala perbelanjaan...semua ini mustahak untuk memastikan jentera pentadbiran kerajaan dapat bergerak dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata, antara anggaran tambahan yang tidak melibatkan aliran tunai tersebut adalah RM675 juta untuk menampung pelaburan ekuiti dalam Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB).
Katanya, pelaburan itu sebenarnya adalah dibiayai melalui bayaran dividen yang diterima oleh kerajaan daripada anak syarikat Yayasan Sabah yang dilabur balik sebagai ekuiti dalam ICSB.
Antara peruntukan tambahan terbesar yang melibatkan aliran tunai adalah untuk menampung keperluan perbelanjaan program penyenggaraan jalan raya dan jambatan di seluruh negeri iaitu RM120 juta, katanya.
Musa berkata sebanyak RM66.9 juta pula untuk menampung kos kerja-kerja mendesak bagi menyelenggara dan membaiki paip-paip air yang sudah lama dan uzur, penyenggaraan, dan pembaikan paip retikulasi serta sambungan-sambungan paip yang rosak dan juga perbelanjaan pengurusan kehilangan hasil air.
Persidangan dewan ditangguh ke esok. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan