Riduan Mohamad Nor |
SIRI 1 “Wah ! terlalu banyak yang berubah Gaza berbanding dua setahun setengah yang lepas” ujar Zulkifli Wahijan apabila van Muslim Care membelah aspal yang kelihatan baru diperbaiki di Rafah sehinggalah ke jantung kota Gaza. Gaza selepas perang adalah sebuah wajah yang berbeza dengan kunjungan kami sewaktu peperangan Cast Lead pada Januari 2009. Di saat itu ketakutan muncul di segenap sudut kerana Israel yang sedang mengganas tidak mempedulikan langsung nyawa dan kesakitan umat Islam Gaza. Kami sewaktu itu hanya mengumam ayat-ayat Allah kerana melintasi zon peperangan Gaza yang menyimbah darah umat Islam. Ledakan bom dan pembantaian berskala besar telah mengambus keceriaan wajah warga bumi Isra’ yang diserkap semenjak tahun 1948. Operasi serangan Cast Lead telah memusnahkan 22,000 bangunan di seluruh Gaza, membunuh ribuan manusia dan mencederakan ribuan yang lain, maka terpampang wajah Gaza ketika kunjungan pertama kami adalah kesakitan dan kepedihan. Luka itu sangat mendalam dan menghiris. “Selamat datang ke Gaza, penjara terbesar di dunia” kata Dr Ahmad An Najjar, yang menyambut kedatangan kami dengan sambutan hangat dan penuh protokol kerajaan. HAMAS yang membentuk kerajaan di Gaza mempunyai hubungan yang baik dengan PAS, yang membela Palestin semenjak zaman Dr Burhanuddin al Helmi lagi. Pegawai-pegawai kerajaan menyambut kami di sempadan Rafah dengan sejambak bunga sebagai simbolik menghargai kedatangan kami yang melangkaui ribuan kilometer dan sejuta halangan daripada pihak Mesir yang sebelum ini telah menggagalkan misi kedua Muslim Care pada Jun tahun 2009 (misi menghantar ambulan). Dalam misi kali ini, Muslim Care telah mewujudkan sebuah makmal komputer yang dilengkapi dengan 10 unit computer, sebuah projektor LCD serta lain-lain peralatan, menziarahi penduduk termiskin serta keluarga yang mana ahli keluarga telah dipenjara sejak sekian lama, memberi sumbangan rumah ke rumah, membina kilang roti, membaiki masjid, menyantuni anak yatim, membantu pusat trauma peperangan, menyumbang 10 kerusi roda kepada Persatuan Orang cacat dan juga membantu ibu tunggal. Perjalanan kami kali ini membawa 10 orang anggota misi yang terdiri daripada Haji Arifin Ismail, Zulkifli Nani, YB Hj Khalid Samad, Zulkifli Wahijan, Zakaria Latif, Abdul Halim Redhuan, Ahmad Safuan, Ir Izham Hashim , Zahari (Cakna Palestin). Perjalanan kami telah dirancang dengan penuh teliti dengan bantuan Encik Kamal El Samy, Pengerusi Kesatuan Sekerja di Mesir yang sangat berpengaruh. Perjalanan panjang ini terasa amat menjerihkan tetapi kepenatan sedikit demi sedikit terurai apabila kami diizinkan untuk memijak bumi Palestin yang menjadi kiblat pertama umat Islam. Apatah lagi karenah birokrasi kerajaan Mesir yang sering menggagalkan kehadiran NGO-NGO asing yang ingin membantu Gaza. Pusat Sempadan Rafah kembali ceria terutama kerana Ramadhan yang menjengah, bulan rahmat ini disambut dengan besar-besaran oleh umat Islam Palestin. Amat menguja akal ialah apabila kenderaan serbaguna sumbangan Muslim Care kepada rakyat Palestin digunakan untuk mengambil kami. Kenderaan sumbangan rakyat Malaysia melalui Muslim Care itu telah dua tahun sebulan beroperasi di Gaza yang diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan. Ia kelihatan terjaga dengan baik dan agak mewah jika dibandingkan dengan kenderaan lain di wilayah yang masih terkepung ini. Di pintu sempadan Rafah, keadaan begitu meriah, kenderaan berdesakan dengan suara riuh rendah buruh-buruh pemunggah barang yang meraih rezeki dengan kehadiran ramai orang di pintu masuk. ini berkemungkinan kerana apabila Ramadhan menjelang, bumi Isra’ ini begitu sebagaimana lazimnya di negara Arab yang lain. Gaza kali ini menyembulkan senyumannya yang luar biasa, saya terpanar melihat di hamparan Pantai Gaza yang terhampar luas itu dipadati dengan kunjungan ribuan pengunjung. Ada yang bermandi manda, berkejaran, bermain bolasepak, menaiki bot santai, bercanda santai namun diawasi dengan ketat oleh kapal-kapal peronda Israel. Regim tolol itu tidak teragak-agak melepas tembakan. Seminggu sebelumnya, beberapa orang telah terkorban dalam serangan ke atas Khan Yunis. Chalet dan hotel mula dibina dan dipulihkan kembali di sepanjang pantai menandakan keazaman dan kemampuan untuk membangunkan kembali ekonomi mereka yang terjejas akibat peperangan serta kepungan yang berterusan. Matahari petang di Gaza memantulkan cahaya keperakan di atas lautan Mediteranean yang terkenal sarat dengan sejarah pelayaran bahkan pertembungan. Angin sepoi-sepoi bahasa sangat menyamankan perasaan tentang indahnya setiap inci tanah Palestin. Anak-anak gadis Palestin yang turut mandi bersama keluarga tetapi masih menjaga pakaian sopan mereka. Petang hari di jajaran pantai ini dengan puluhan ribu warga Gaza mengambil peluang menghirup udara bersih dan menghiburkan hati walaupun dikepung sejak lima tahun lepas. “Issk, tak macam perang….kalau tengok gambar-gambar Gaza kita terbayang dengan perang dan darah” kata Ahmad Safwan yang kelihatan agak terkejut dengan pengalaman pertama menjejaki bumi Palestin. Beliau antara anak muda yang kerap turun ke lapangan kerja menggerakkan ekspedisi dakwah di Borneo dan juga di perkampungan orang Asli.. Suasana meriah di jajaran pantai yang bersih itu melambangkan rakyat Palestin yang menzahirkan kecintaan mereka kepada kemerdekaan tanahair mereka yang telah 63 tahun terjajah bangsa terlaknat. AKTIVITI MISI RAMADHAN Dalam misi kali ini Muslim Care telah berjaya mengadakan program yang telah dijadualkan dengan sejumlah RM650,000 dibawa hasil sumbangan rakyat Malaysia. Antara projek besar yang dibawa kali ini ialah menyediakan kilang roti berskala sederhana untuk penduduk Gaza di mana kerjasama telah diadakan dengan sebuah NGO Palestin iaitu El Emaar. Muslim Care juga telah menubuhkan sebuah makmal komputer di sebuah sekolah yang terpilih dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Apa yang sangat ketara ialah sikap penduduk Gaza yang sangat mengutamakan pendidikan dan menghargai ilmu. Di celah kemiskinan dan kemelaratan hidup, mereka bangkit untuk membebaskan tanahair yang terjajah dengan ilmu. Menurut Ahmad An Najjar, Pengarah Hubungan Luar Kementerian Pendidikan, banyak sekolah yang terjejas sosok fizikal akibat serangan Israel tidak mampu dibangunkan semula kerana ketidakcukupan dana. Banyak negara Muslim yang berjanji tetapi tidak mengotakan janji mereka untuk membangunkan kembali Gaza yang dirempuh Israel. Walaupun dengan kekuatan petrol gas, Negara Arab begitu takut untuk dilihat bersahabat dengan Gaza kerana bimbangkan tekanan Amerika Syarikat dan juga Israel. “Yang mengambil peranan membantu kebanyakannya ialah NGO-NGO Islam termasuk NGO bukan Islam dari Eropah” rungut seorang teman Palestin tentang sikap dingin negara Arab dalam membantu Palestin yang terpuruk. Pihak berkuasa Gaza menyusun dengan padat jadual kami, antaranya kami dibawa melawat Universiti Islam Gaza yang mempunyai seramai 21,000 orang pelajar.Universiti ini telah dibom dalam serangan Cast Lead, di mana dua makmal Fakulti Perubatan dan Kejuruteraan diranap serangan udara. Sehingga kini kesan serangan masih kekal dan tak mampu dipulihkan kembali. Rombongan juga turut melawat dan memberi sumbangan kepada Pusat Pemulihan Trauma Peperangan di Khan Yunis di mana mangsa-mangsa peperangan mendapatkan khidmat kaunseling dan rawatan secara percuma. Di antara aktiviti lain yang diadakan ialah memberikan bantuan secara terus kepada mangsa peperangan yang dikategorikan sebagai miskin tegar. Kami telah dibawa melihat kejerihan hidup rakyat. Mereka tinggal di kawasan penempatan padat penduduk dan biasanya mendiami bilik sempit dengan ahli keluarga yang ramai.Tak tergambar bagaimana manusia boleh hidup begitu melarat seperti gelandangan kota dalam keadaan manusia Arab di negara lain hidup berselimut dengan kemewahan. Bekalan eletrik yang sangat daif turut menyempurnakan kejerihan hidup mereka, dengan bekalan yang sering terputus dan tak terbayang bagaimana keadaan mereka di musim sejuk. Muslim Care turut mengadakan program memberikan bantuan kepada keluarga syuhada dan ahli keluarga yang berada di penjara regim Israel. Terpahat kukuh dalam ingatan bagaimana keluarga syuhada ini membawa foto besar ahli keluarga mereka yang telah gugur sebagai syuhada atau yang berada di penjara pengap regim Israel. Ada tahanan yang paling lama ditahan selama 34 tahun, mengatasi rekod Nelson Mandela, pejuang apartheid di selatan Afrika. Berada di penjara Israel bermakna dipakejkan sekali dengan penderaan dan penyiksaan. Pelbagai program yang telah disertai sangat memberikan kesan ke atas rombongan, apatah lagi dengan sambutan hangat rakyat dan juga pimpinan kerajaan Palestin yang dipilih secara demokratik. Kami dijemput untuk menjadi tetamu Dr. Ismail Haniyeh, Perdana menteri yang sangat berwibawa, juga berkesempatan menunaikan solat terawih berimamkan Ismail Haniyyeh yang mempunyai suara yang unik. Pihak Parlimen Palestin juga mengadakan sambutan khas kepada rombongan, di mana ketua sambutan ialah Dr Muhamad Bahar. Beliau merakamkan penghargaan terhadap rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan perhatian terhadap nasib umat Islam di Palestin. RAMADHAN YANG MERIAH Palestin , bumi suci umat Islam ini menyaksikan betapa hebat dan ghairahnya mereka memasuki bulan yang penuh keberkatan ini. Beberapa hari menjelang Ramadhan, warganya kelihatan begitu sibuk membuat persiapan seperti memasang bendera, memasang pemidang dan poster yang menunjukkan kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadhan. Pasar-pasar begitu sekali rancak dengan jual beli barang-barang keperluan Ramadhan, kaum muslimat begitu teruja memilih barang dapur. Buah-buahan seperti tomato, tembikai, limau dan mangga kelihatan begitu segar walaupun disengat cuaca panas dan berdebu. “Masyaallah…suburnya tanah Palestin ini” ungkap Haji Izham Hashim dengan mata tidak puas mendakap tanah Gaza yang subur dengan tanaman. “ Ramadhan di sini terasa sangat luarbiasa sambutannya dengan masjid-masjid yang penuh dan mungkin akan terus padat sehingga akhir Ramadhan” ujar seorang teman yang begitu asyik menikmati pemandangan Gaza di malam Ramadhan. Dentuman mercun juga sekali sekala membelah kesunyian malam di sini, dengan anak-anak berlari riang di celah-celah lorong yang padat penduduk. Masing-masing sibuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan terpancar guratan wajah ceria. “Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, bulan pengampunan yang menawarkan pintu kebaikan” syarah Sheikh Ismail Haniyeh, Perdana Menteri dalam tazkirahnya usai solat terawih lapan rakaat di masjid berhampiran kediamannya yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan. Sang pemimpin itu walaupun sibuk dengan urusan memimpin di siang hari, namun meluangkan masa dengan rakyat di masjid. Wajahnya begitu berseri, dengan senyuman khas menyambut kami dan menyalami rakyat. Beliau menyantuni kami usai solat witir sebelum bergerak ke lokasi rahsia dengan kawalan anggota-anggota unit khas yang berbadan tegap. Saya cukup berbahagia melihat kerlipan-kerlipan neon mula menjadi latar kepada bandaraya Gaza yang padat penduduk, lantunan ayat-ayat suci Al Quran begitu meriah daripada masjid di mana pembesar suara digunakan. Masjid juga memasang khemah khas bagi menampung kehadiran tetamu dengan jumlah yang luarbiasa berbanding bulan-bulan biasa. Kehadiran rombongan kami begitu sekali dihargai dan diberi sambutan hangat di mana-mana kami muncul terutama media perdana di bumi terkepung ini. Anak-anak melambai-lambai tangan apabila berpapasan, apatah lagi dengan sedikit ole-ole yang kami sumbangkan kepada mereka. Guratan wajah bersih walaupun dengan pakaian kumuh yang tersarung itu amat memerlukan bantuan umat Islam seluruh dunia. Derita mereka adalah tusukan duri luka di hati kita, panggilan Al Aqsa adalah panggilan untuk semua umat Muhammad SAW, apatah lagi pengucilan terhadap mereka telah memasuki tempoh yang sangat panjang oleh zionis dan sekutu-sekutunya. **Riduan Mohamad Nor adalah Ketua Penerangan Dan Dakwah DPPP, juga Perunding Motivasi dan Pendakwah |
mahkamah-akhirat.blogspot.com " AYUH BERAMAL SOLEH SEBELUM DIAMBIL NYAWA KITA "
Sabtu, Ogos 06, 2011
Gaza: Bernaung di bawah langit Ramadahan OLEH UST RIDUAN MOHAMAD NOR
SUMBER
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan