Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar hari ini berkata, kertas siasatan telah dibuka berhubung laporan
Utusan Malaysia yang mendakwa kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, menghina pasukan polis baru-baru ini.
Menurut Bernama, Khalid berkata, kertas siasatan itu telah dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam."Kenyataan itu menggemparkan masyarakat. Kita telah menerima sebanyak 49 laporan polis setakat ini dan ini akan disiasat secara menyeluruh.
"Ia telah menyakitkan hati ahli-ahli pasukan keselamatan negara dan juga ahli keluarga mereka yang terkorban semasa tragedi Bukit Kepong," katanya kepada pemberita selepas melawat Kanopi Ops Sikap di Jalan Sungai Buloh menghala Kuala Selangor hari ini.
"Saya rasa dia kurang buka buku sejarah atau bertanya pada mereka yang tahu mengenai sejarah tragedi itu. Dia patut pergi melawat kawasan itu dan tengok dengan mata dan kepalanya sendiri," katanya. Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai 'Mat Sabu' dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, dilaporkan oleh
Utusan sebagai berkata, pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu pada sidang akhbarnya hari ini berkata laporan
Utusan pada 27 Ogos lalu mengenai ceramahnya di di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu adalah "satu putar belit dan tokok tambah cerita untuk memfitnahnya dan PAS".
"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan laporan muka depan dan muka lima
Utusan (27 Ogos) dan kecaman berterusan akhbar (itu) bertarikh 28 Ogos, saya dapati
Utusan telah memutar belit (dan) menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan PAS," katanya.
"Saya agak lambat menjawab isu ini kerana saya mahu melihat dan mendengar balik apa yang saya katakan di ceramah itu. Pagi ini saya melihat balik videonya dan mendapati apa yang dilaporkan oleh
Utusan itu tidak benar sama sekali," katanya.
Akhbar itu pula, kata Mohamad, hanya menyiarkan laporan mengenai ceramahnya di Pulau Pinang itu selepas semingggu.
"Saya ceramah 21 Ogos,
Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan pagi ini saya mendengarnya," kata Mohamad.
Sehubungan itu, Mohamad berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya bagi mengheret akhbar milik Umno itu ke mahkamah kerana membuat pembohongan terhadapnya.
Sementara itu,
Bernama juga melaporkan dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang yang mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mat Sabu tersebut.
Laporan polis berasingan itu dibuat oleh Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Presiden Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah kira-kira pukul 4 petang tadi bersama beberapa badan bukan persatuan lain.