Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menyifatkan insiden yang berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim semalam sebagai "pembantaian mahasiswa" yang amat membimbangkan.
Bekas zamil pelawat di Universiti Oxford itu menimbulkan rasa hairannya kenapa perhimpunan itu sampai "menumpahkan darah sesama sendiri yang diharamkan oleh agama"?
"Apakah pintu musyawarah sudah tertutup? Kemarahan tidak akan selesai dengan memarakkan kemarahan! Masing-masing ada hak untuk bertindak, maka jagalah batasan hak masing-masing," katanya.
Seramai 17 mahasiswa ditahan dalam perhimpunan prokebebasan akademik di depan UPSI semalam dan seorang cedera serta dikejarkan ke hospital.
Kejadian itu mengundang kritikan keras pelbagai pihak, termasuk pembangkang, kumpulan mahasiswa, peguam dan NGO.
Pihak polis bagaimanapun menafikan menggunakan kekerasan dan mendakwa kecederaan peserta perhimpunan disebabkan "rempuhan sendiri" ke klinik berdekatan.
Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Dr Juanda berkata, pihak berkuasa sewajarnya menggunakan kebijaksanaan -- yang didakwanya makin hilang -- setika kemarahan peserta perhimpunan itu memuncak.
"Ya, anda ada kuasa, tetapi biarlah orang hormat dan hargai kuasa anda, bukannya memarakkannya dengan fitnah kebencian!" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan