Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata polis juga mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk menyangkal fitnah yang dilemparkan itu.
"Semasa perhimpunan haram itu, beberapa jurugambar dan jururakam polis ditugaskan untuk merakamkan kejadian tersebut sebagai bukti polis tidak menggunakan kekerasan termasuk mencederakan mana-mana penuntut.
"Oleh itu, saya telah mengarahkan satu kajian dilakukan pasukan khas tersebut bagi menunjukkan dakwaan yang dilemparkan itu adalah tidak benar," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata sekiranya dakwaan yang dibuat dalam blog tersebut terbukti palsu, polis akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempastikan tuduhan memfitnah pasukan keselamatan itu tanpa usul periksa tidak berulang.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata siasatan menunjukkan klinik yang dirempuh kumpulan penuntut dalam perhimpunan haram tersebut mengalami kerosakan dianggarkan mencecah RM10,000.
Kira-kira 70 penuntut beberapa universiti dilaporkan berhimpun secara haram di pekarangan UPSI atas alasan menuntut kebebasan akademik dengan menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.
Selain itu, mereka mendesak agar penuntut UPSI, Adam Adli Abdul Halim, yang menurunkan bendera yang tertera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat Umno sewaktu demonstrasi 17 Disember lepas, tidak dikenakan tindakan tata tertib oleh pentadbiran universiti berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan