Demonstrasi haram di UPSI: Polis nafi guna kekerasan
01/01/2012 9:19pm
TANJUNG MALIM 1 Jan. – Polis menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan haram anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) selepas sambutan Ambang Tahun Baru di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua ahli SMM akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) adalah tidak benar dan merupakan fitnah.
"Semasa perhimpunan itu, tiada anggota FRU dipanggil bertugas... hanya anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Tanjung Malim sahaja, dan ternyata blog berkenaan cuba membuat fitnah.
"Malah semasa menyuraikan perhimpunan haram itu, anggota kami tidak menggunakan sebarang kekerasan malah bertindak dengan sangat berhemah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata kecederaan ahli kumpulan mahasiswa itu adalah disebabkan rempuhan yang mereka lakukan sendiri, dan bukan dipukul polis seperti didakwa.Mohd Shukri berkata pada awalnya, polis cuba menasihati kumpulan itu dan memberi masa selama 30 minit untuk bersurai, namun mereka tidak menghiraukannya malah bertindak lebih agresif.
"Mereka kemudian mara dan berbaring di atas jalan raya, mengganggu lalu lintas... polis terpaksa bertindak demi keselamatan awam menghalang perlakuan berkenaan, namun ia masih dilakukan dengan berhemah.
"Mereka terus lari lalu merempuh pula klinik berdekatan sehingga berlaku kerosakan pada premis itu dan kemudian polis menahan 17 penuntut pada masa tersebut,” katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan