Isnin, Januari 09, 2012

Exco: PAS Selangor akan bincang status Hasan Ali yang dipecat

Written by Harakahdaily  
Sunday, 08 January 2012 22:08
KUALA LUMPUR, 8 Jan: PAS Selangor meminta semua ahlinya di negeri itu akur dan patuh dengan keputusan PAS Pusat yang telah memecat bekas pesuruhjaya negeri, Datuk Dr Hasan Ali.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, setiausaha perhubungannya, Mohd Khairuddin Othman (gambar) berkata, PAS Selangor yakin keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira semua aspek.

"Berikutan Keputusan mesyuarat PAS Pusat yang memecat Datuk Hasan Ali. PAS Selangor meminta semua ahli-ahli PAS di Selangor agar akur dan patuh kepada keputusan tersebut.

"PAS Selangor yakin mesyuarat pusat, (yang telah di hadiri oleh semua pimpinan tertinggi parti), telah mengambil kira semua aspek tentang baik buruk kedudukan parti sewaktu mengambil keputusan tersebut," katanya melalui satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tengah hari tadi mengumumkan memecat keahlian Hasan sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini.

Menurutnya, PAS Pusat telah membuat keputusan itu berdasarkan Fasal 82(9) ekoran tindakan-tindakan Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS.

Mengulas lanjut, Khairuddin memberitahu penjelasan lanjut tentang kedudukan Datuk Hasan Ali sebagai Exco Kerajaan Selangor dan wakil rakyat akan dibincang dalam mesyuarat penuh PAS negeri yang akan diadakan dalam waktu terdekat.
Hasan adalah Adun Gombak Setia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

Tiada ulasan: