Rabu, November 30, 2011

RUU Himpunan: Najib rujuk Zimbabwe, Myanmar

Written by Harakahdaily  
KUALA LUMPUR, 29 Nov: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merujuk kepada Zimbabwe dan Myanmar berhubung himpunan aman tanpa senjata.
Menurutnya, di ambang Hari Malaysia yang ke-48 pada 15 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis untuk menyelaraskannya dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan rakyat untuk ‘berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata’, dan supaya mematuhi norma-norma antarabangsa.
“Malangnya, tidak disangka bahawa negara-negara ‘antarabangsa’ yang dirujuk beliau merupakan negara-negara Zimbabwe dan Myanmar,” katanya.
Namun sekarang, kata beliau nampaknya negara Myanmar pun sudah menjadi sebuah negara demokratik yang lebih bebas jika dibandingkan dengan Malaysia.
“Rang Undang-Undang yang baru diluluskan oleh Parlimen Myanmar hanya memerlukan pemberitahuan awal kepada pihak polis selama 5 hari, manakala Rang Undang-Undang yang dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini memerlukan pemberitahuan yang jauh lagi awal,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Bagan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perhimpunan Awam di Dewan Rakyat, petang ini.
Katanya, sungguhpun Perdana Menteri mengumumkan pindaan akan dibuat agar notis pemberitahuan dipendekkan daripada 30 hari kepada 10 hari, ia jauh lebih panjang daripada apa yang diamalkan daripada sebuah negara berkuku besi seperti Myanmar.
“Adakah Malaysia kini lebih teruk daripada Myanmar?” soalnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Ini, tegasnya jelas membuktikan bahawa Program Transformasi Politik yang diuar-uarkan adalah satu penipuan semata-mata.
Dalam ucapannya tempoh hari, ujarnya Perdana Menteri telah menyatakan bahawa rang undang-undang itu akan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan tanpa bersenjata, tetapi hakikatnya ia adalah satu cubaan untuk meningkatkan kawalan dan larangan ke atas hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
Beliau berkata, jelas juga bahawa rang undang-undang yang dicadangkan intu telah mengambil petikan-petikan yang berbunyi merdu daripada undang-undang negara demokratik lain seperti Queensland dan United Kingdom, dan telah memutar-belitkannya kepada alat untuk menindas rakyat.
Justeru, beliau ingin bertanyakan sama ada rang undang-undang itu diciplak daripada model Queensland Peaceful Assembly Act 1992 dan sekiranya ya, mengapa tidak mengikuti keseluruhannya yang berteraskan hak asasi manusia.
“Sebaliknya yang baik tidak diikuti iaitu rang undang-undang ini telah ambil yang keruh, buang yang jernih pula,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau menegaskan DAP dan PR menentang Rang Undang-undang Perhimpunan “Haram” yang akan mengharamkan hak berhimpun, memberikan kuasa mutlak kepada polis yang memihak kepada BN untuk membenarkannya atau tidak dan menghakis lagi hak asasi manusia di Malaysia.
“Jangan cemarkan imej negara Malaysia dengan meluluskan Rang Undang-undang ini. Rang undang-undang ini tidak boleh diselamatkan dengan apa-apa pembetulan atau pindaan, dan harus ditarik balik dengan serta merta dan digubal semula,” katanya.

Tiada ulasan: