Jumaat, November 25, 2011

Auku: Jangan ulangi janji mansuh ISA >> SEJARAH AUKU.. MEH BACA!!!!

Written by Harakahdaily  
KUALA LUMPUR, 24 Nov: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi berusia 21 tahun ke atas menganggotai parti-parti politik.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari (gambar), kenyataan tersebut menunjukkan bahawa kerajaan yang sedia ada sudah mula faham dan akur dengan desak pelbagai pihak yang saban tahun memperjuangkan permansuhan Auku sejak Tun Dr Mahathir Mohamad lagi iaitu pada tahun 1971 berikutan demonstrasi Baling di Kedah.

Katanya, setiap undang-undang yang digubal berdiri atas satu-satu niat penggubalan, begitu juga dengan Auku.
“Saya melihat Auku ini digubal bertitik tolak pada beberapa peristiwa antaranya PMUM isytihar manifesto sokong pembangkang dalam PRU ke-4 sehingga tercetusnya Persitiwa 13 Mei 1969.
“Juga Demonstrasi Anti Tunku oleh PMUM di Universiti Malaya pada 29 Ogos 1969 dan Demonstrasi ‘Papan Tanda’ 5 Okt 1970 iaitu pertembungan PMUM dan PBMUM sehingga membuka terlalu banyak kelemahan Kerajaan dalam isu bahasa Melayu dan  pendidikan,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Setelah itu, katanya kerajaan membentuk ‘Jawatankuasa Mengkaji Kampus’ sehingga tergubal dan diwartakan Auku pd 18 Mac 1971.
Ini, ujarnya membuktikan niat Auku digubal untuk sebenarnya ialah untuk menutup ‘pekung’ kerajaan sebenarnya.
“Saya juga melihat Auku ini juga membunuh aktivisme mahasiswa. Mahasiswa tidak lagi bebas berfikir, berpersatuan, menyuarakan pandangan secara idealis dan akademik malah kehidupan mereka sentiasa diancam,” katanya lagi.
Natijahnya, tambah beliau mahasiswa Malaysia saban ini tidak lagi menjadi jurubicara ummah demi pembangunan negara sebagaimana mahasiswa Malaysia pada era 1960-an dan 1970-an, malah ianya turut terkesan kepada pensyarah-pensyarah universiti.
“Gamis harapkan pengumuman ini tidak berulang sepertimana pengumuman mansuhkan ISA yang lalu, sehingga kini masih menjadi tanda tanya pada rakyat bila akan mansuh,” katanya.
Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendakwa pengumuman Perdana Menteri untuk meminda seksyen 15 Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) yang menghalang mahasiswa berpolitik membuktikan akta itu sememangnya bahana yang membunuh idealisme dan patriotisme anak muda selama ini.
Sambil menyambut baik pengumuman tersebut, Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, ianya membolehkan mahasiswa kembali menjadi anak muda negara yang bebas mengamalkan perlembagaan sebagai warganegara Malaysia.
"Mahasiswa meminta semua pihak terutama pentadbir universiti menerima pengumuman Perdana Menteri secara terbuka.
"Mahasiswa sedar bahawa pentadbir universiti akan menjadi tonggak penting dalam memastikan idealisme mahasiswa kembali pulih setelah Auku dimansuhkan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hal ini termasuklah usaha universiti dalam membuka ruang kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dengan pergerakan politik di Malaysia.
Beliau berkata demikian dengan memberi contoh speaker corner yang "lesu"  kerana pihak universiti menyambutnya secara dingin.
"Hal ini kerana terdapat pihak pentadbiran yang mewujudkan undang-undang melampau walaupun Auku telah membenarkan Speaker Corner," katanya.
Selain itu SMM katanya, mencadangkan pihak kerajaan memperhalusi beberapa tuntutan mahasiswa dalam menjayakan semangat pemansuhan Auku.
"Mahasiswa tidak sekadar melihat pemansuhan Auku secara tunggal, tapi apa yang lebih penting ialah pengisian terhadap aktiviti kemahasiswaan setelah Auku dimansuhkan.
Tuntutan mahasiswa ini katanya telah dikemukakan dalam Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang dilancarkan baru baru ini.
"Antara tuntutan mahasiswa ialah mengembalikan hak pentadbiran kemahasiswaan kepada mahasiswa secara total yang mana tugas ini pada masa ini dikuasai sepenuhnya oleh bahagian hal ehwal pelajar (HEP)," katanya.
Selain itu SMM juga menuntut agar urusan pilihanraya kampus diserahkan sepenuhnya kepada mahasiswa bagi memastikan mahasiswa mendapat pendidikan politik secara menyeluruh dan tidak sekadar terdidik sebagai pengundi.
"Tuntutan ini diharap dapat diberi perhatian oleh pihak kerajaan bagi memastikan pindaan Auku disusuli dengan pengisian yang mempu mendidik mahasiswa menjadi rakyat yang berfungsi kepada negara," katanya.

Tiada ulasan: