Ahad, September 04, 2011

PAS ajak Umno debat 'Siapa Pejuang Merdeka' AMACAM???

SUMBER
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 4 Sept: Memandangkan Umno begitu berminat menggunakan isu sejarah pra-kemerdekaan negara dalam serangannya, PAS hari ini mengajak Umno untuk berdebat terbuka secara ilmiah untuk menangani isu ‘Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan sebenarnya?’ dalam sejarah tanah air sebelum Merdeka.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini, PAS melalui Lujnah Penerangan akan menghantar surat jemputan kepada Ketua Penerangan Umno dalam masa terdekat bagi menganjurkan satu perbahasan umum ilmiah tersebut atas dasar menghormati hak rakyat untuk membuat pernimbangan dan penilaian sendiri melalui hujah-hujah dari kedua-dua pihak kepada isu kedudukan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang dilupakan dalam sejarah negara.

Disebabkan serangan bertubi-tubi Umno yang kini berlangsung selama 9 hari ini, kata Tuan Ibrahim rakyat kini, terutamanya golongan muda yang celik internet terdedah dengan pelbagai maklumat mula membuka mata dan mulai bangkit mencari kebenaran dan membuat penilaian semula fakta sejarah yang dihilangkan selama ini oleh pihak pemerintah.

Fenomena terbaru untuk mencari kebenaran ini, katanya turut secara langsung menyedarkan rakyat bahawa mereka mesti bangun menuntut perubahan kepada kepimpinan negara sekarang demi satu masa depan baru yang lebih bertanggungjawab untuk kebaikan generasi akan datang.

“Selain itu, sebahagian besar waris pejuang kemerdekaan yang terkorban dalam menentang Inggeris kini sangat dukacita apabila mereka dicapkan sebagai golongan komunis, sedangkan mereka langsung tiada kena mengena dengan komunis. Waris Mat Indera yang ditemui juga sangat berdukacita dengan laporan tidak beradab media perdana yang mengaitkannya dengan komunis. Mereka yakin, hanya dengan tumbangnya kerajaan BN barulah fakta sejarah yang sebenar dapat ditegakkan.

Sehubungan itu, PAS sedia berdebat secara ilmiah terbuka dengan Umno pada bila-bila masa bagi menghurai kekusutan ini,” kata beliau, sambil menambah ia adalah satu penyelesaian konkrit kepada isu yang hangat dimainkan di media perdana kini.

PAS, katanya turut berasa simpati kepada kesan mendalam kepada waris Mat Indera dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain yang bangun menentang penjajah tetapi jasa mereka digugurkan dan tidak diiktiraf dalam sejarah akibat terpaksa menanggung pelbagai tuduhan liar ‘pejuang-pejuang pertahanan sejarah versi Umno’ tanpa ruang untuk menjawab.

“Di sebalik tuduhan golongan ini, adakah mereka sengaja tak mengendahkan fakta-fakta pelbagai aspek, contohnya masa kejadian berlaku, kenapa kerajaan Johor mengiktiraf perjuangan mereka dan kenapa Mat Indera diberi tauliah mengajar agama di Johor – sehinggakan menggelar sesiapa yang memberikan pandangan berlainan terhadap versi sejarah mereka sebagai pengkhianat dan penyokong komunis?” soal beliau.
Menjawab tuduhan para pemimpin Umno bahawa PAS kini menyokong komunis, Tuan Ibrahim secara sindir berkata PAS hanya mampu ketawa besar mendengar tuduhan yang dilemparkan hanya kerana PAS ingin membela tempat tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang dilupakan dalam sejarah tanah air.

“Tuduhan Umno ini bukan sekadar lawak terbesar, malah jenaka terbodoh abad ini kerana antara PAS dan perjuangan komunis langsung tidak ada titik persamaan.

Seperti kata Tuan Guru Presiden PAS, umum mengetahui ‘PAS adalah sebuah Parti Islam, dan kita menentang semua samada British, Jepun serta komunis. Umno pula akan menyokong mana-mana kumpulan yang berkuasa dan boleh memberi keuntungan kepada mereka’,” sindir beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuduhan Umno terhadap PAS, katanya seolah-olah hendak menyamakan parti Islam ini dengan parti mereka yang terkenal kerana bertulang-belakangkan ‘kuasa dan hanya kuasa’ saja, di mana segala dasar boleh dijual-beli untuk tujuan mendapatkan kuasa.

Selain itu, tegas beliau tindakan Umno ini juga benar-benar menggambarkan parti tersebut ketandusan modal bagi menyerang PAS, yang saban hari dilihatnya sebagai parti yang semakin mampu memberikan tentangan terhebat kepadanya, malah menundukkannya dalam head-to-head pada PRU-13.

Tiada ulasan: