Rabu, September 07, 2011

Ahli sejarah jangan tangguh ulas buku sejarah OLEH HJ SUBKY LATIF- MESTI BACA!!!

SUMBER
Subky Latif   
PAKAR sejarah seperti Prof. Khoo Kay Kim dan Prof. Ramlah Adam sepatutnya  tidak menunggu lama untuk mengulas sebarang buku sejarah yang diterbitkan, malah mereka wajar memberi nasihat atas buku-buku sejarah yang ada.
Apabila ada suara keraguan tentang sejarah negara ini, segeralah ahli-ahli sejarah membuat penjelasan supaya sejarah itu tidak jadi barang keliru.
Buku sejarah yang dirasakan rasmi bagi negeri Johor, bertajuk Pengukir Nama Johor terbitan Yayasan Warisan Johor, disunting  oleh  Prof. Abu Bakar Hamid dari Universiti  Malaysa dengan kata penghantar dari Menteri Besar Johor Dato Ghani Othman telah diterbitkan dalam tahun 2004.
Buku inilah yang menjadi rujukan Mohamad Sabu berhubung sejarah Mat Indera yang mengepalai gerakan menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong di zaman penjajah dulu.
Buku yang membariskan Mat Indera bersama Sultan Ismail dan lain-lain watan Johor meletakkan Mat Indera sebagai seorang putera yang mengukir nama Johor. Ia tidak kata Mat Indera itu wira. Penulis menyerahkan kepada pembaca untuk membuat kesimpulan adakah  dia petualang yakni pengganas atau orang terbilang.
Apabila namanya dimuatkan dalam buku bertanjuk Pengukir Nama Johor, maka apa ertinya kalau dia bukan seorang pejuang terbilang?
Mat Sabu sebagai seorang yang tidak senang dengan rakam sejarah kemerdekaan Malaysia mengambil buku ini sebagai sumber bagi menilai semula nama Mat Indera yang dicap oleh penjajah British sebagai penjahat.
Kerajaan Johor seperti sudah mempertikai tohmah penjajah British itu. Buku inilah yang menjadi pegangan Mat Sabu.
Selepas Mat Sabu mendedahkan dokumen bercetak tentang hujuhnya atas sejarah Bukit Kepong itu barulah ahli-ahli sejarah mentakwil kesahihan buku Yayasan Wawasan Johor itu. Lapan tahun selepas buku itu terbit baru profesor sejarah menyoal kesahihan fakta sejarah itu. Itupun nasib baik Mat Sabu membangkitkan kandungannya.
Kiranya Mat Sabu tidak memberi reaksi positif tentang kandungan buku itu, maka yang membacanya tentu menerimanya sebagai Mat Sabu menerimanya.
Jika ia ada keraguan pada pandangan ahli sejarah, dan ahli-ahli sejarah ada sifat untuk mengamati setiap bahan bertulis mengenai sejarah, mengumpulkan apa saja yang dikaitkan dengan sejarah, cepat-cepat ahli sejarah membuat komen, membetulkan apa yang silap dan mengukuhkan mana-mana fakta yang tidak lengkap.
Para profesor itu ada murid-murid, kerahkan mereka mengumpul segala dokumen yang releven dan kirim mereka membuat kajian, jadilah mata dan telinga terhadap pandangan rakyat tentang sejarah tidak kira siapa dan apa kecenderungannya.
Siapa kata Ibrahim Yaakub yang lari ke Indonesia itu bukan pencetus semangat kemerdekaan. Tetapi apa yang ahli sejarah buat menempatkan namanya sebagai pengukir nama Malaysia?
Oleh kerana ahli-ahli sejarah gagal membuat takwil yang segera atas buku yang mencnerminkan pandangan kerajaan Johor, maka orang sudah ada persepsi yang kedua tentang kisah Bukit Kepung itu.
Tan Sri Jins Samsuddin pula lambat memberi reaksi atas pandangan baru tentang Bukit Kepong sedang beliaulah orang yang melukiskan peristiwa itu dalam filem.
Sekarang orang sudah memulakan usaha menilai semula sejarah itu. Jins bukanlah orang yang terikat pada pandangan tua satu-satu kejadian. Watak-watak yang diambilnya dalam lakonannya banyak bercorak pemberontakan  seperti Si Tanggang, Megat Komeng dan lain-lain.
Malah dia menerima penilaian semula atas sejarah yang tidak popular seperti Hang  Jebat. Bukankah Hang Jebat itu bapak penderhaka? Tetapi orang memberitahu, Jins dikatakan menamakan seorang anaknya Hang Jebat. Bukankah dia juga gemar menilai semula sejarah?

Tiada ulasan: