Isnin, November 22, 2010

Minum air najis DI HAITI?

sumber




DI laluan pejalan kaki berhampiran sebuah hospital di Port-au-Prince, ibu negara Haiti, seorang wanita terbaring dalam keadaan yang sungguh melarat. 

Tanpa dibaluti sebarang pakaian, tubuh kurusnya mengerekot sementara tangan kanannya digunakan untuk melindungi dada yang terbuka. Sirna matanya mengharap agar ada manusia yang sudi membawanya ke hospital untuk dirawat namun tiada siapa yang peduli dengan keadaan wanita berkenaan. Orang yang lalu-lalang hanya memandang dan terus pergi tanpa rasa belas. Alasannya, mereka tidak mahu dijangkiti oleh wabak pembunuh yang sedang merebak di negara itu. 


Senario ini bukan kebiasaan di Port-au-Prince walaupun Haiti digelar negara paling miskin di Amerika Latin. 

Air najis
Namun, sejak dua minggu lalu, wabak taun yang mula merebak menjadi mimpi ngeri kepada seluruh rakyat negara itu. Apa tidaknya, dalam tempoh sebulan, sudah lebih 1,000 nyawa menjadi korban. 

Deretan bencana yang menimpa Haiti seolah-olah memberi petanda bahawa gelombang maut bakal tiba ke pulau tersebut.

Bermula dengan Taufan Tomas yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh serta lebih 6,000 keluarga hilang tempat tinggal awal bulan ini. 

Haiti juga hampir musnah dalam bencana gempa bumi yang meragut 250,000 nyawa dan mengakibatkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal Januari lalu. 

Musibah banjir baru-baru ternyata merumitkan lagi keadaan di Haiti. Kawasan pedalaman dikatakan terjejas teruk apabila sawah padi dan kawasan penempatan ditenggelami air sehingga menyukarkan mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih. 

Seorang menteri tempatan, Ruben Petit berkata, penduduk di kawasan luar bandar sangat bergantung kepada sungai sebagai sumber air untuk minuman dan pertanian di samping aktiviti harian seperti memasak, membasuh dan mandi.
LIMPAHAN air banjir yang kotor juga boleh menjadi penyebab kepada penularan pantas wabak taun.


"Sungai Artibonite memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan masyarakat di St. Denis. Walaupun sudah dimaklumkan terdapat bakteria daripada najis manusia yang menyebabkan air sungai ini tercemar, mereka masih meminum airnya. 

"Kami sangat memerlukan bekalan air bersih dan tandas di sini supaya penularan wabak ini dapat dikurangkan sekali gus menyelamatkan lebih ramai nyawa," ujarnya. 

Menurut laporan akhbar Haiti Libre, jurucakap Kementerian Kesihatan Awam dan Populasi negara itu, Singer Ronald memberitahu, sehingga kini, jumlah mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan wabak taun adalah seramai 1,200 orang, manakala 19,000 lagi masih dirawat.
 
Dianggap sebagai ancaman kesihatan paling teruk dalam tempoh lebih 100 tahun, wabak tersebut ternyata mencetuskan kebimbangan di seluruh Haiti memandangkan rakyat negara itu tidak pernah diberikan pelalian taun sebelum ini. 

"Apa yang membimbangkan, kesesakan lebih 1.3 juta rakyat yang berlindung di khemah tersebut boleh menyebabkan wabak merebak dengan cepat lebih-lebih lagi jika kebersihan diabaikan.
SEORANG lelaki mengheret mayat bapa mertuanya yang mati akibat taun di Cap Haitian.


Pencemaran
Keadaan ini tidak mustahil walaupun sistem sanitasi di situ lebih baik jika dibandingkan dengan kawasan lain seperti Cité Soleil," katanya. 

Cité Soleil yang merupakan sebuah bandar yang dianggap kotor dan sesak telah merekodkan kematian sebanyak 38 penghidap taun.
Menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC) yang berpangkalan di Atlanta, Amerika Syarikat, kes taun yang pertama dilaporkan terjadi berdekatan dengan Sungai Artibonite yang terletak di utara Port-au-Prince manakala kes-kes selepasnya dikaitkan dengan pengambilan makanan dan minuman tercemar. 

Walaupun sedar akan risiko dan bahaya yang menanti, masyarakat Haiti tidak mempunyai banyak pilihan yang boleh menjamin keselamatan nyawa mereka. 

Demi kelangsungan hidup, air sungai tercemar terpaksa juga diminum lantaran tidak mampu untuk membeli air bersih yang dijual dalam botol. 

"Saya tahu air itu tercemar dengan kuman yang menyebabkan taun, tetapi kami semua tidak ada pilihan dan hanya itu yang kami ada.
"Jika kami ada Clorox (agen peluntur), kami akan campurkannya sedikit dan meminumnya walaupun rasanya sangat teruk.

"Ataupun, andainya kami mampu menggali tanah, kami akan gali sehingga jumpa air dan meminumnya," kata Alienne Cilencrieux, 24, yang ditemui ketika beratur di hadapan pagar sebuah klinik yang masih berkunci di St. Denis beberapa hari lalu. 

Turut bersamanya ialah Elian, 27, yang turut membawa dua anaknya, Maiderson, 7, dan Ferguson, 3, masing-masing dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
Mereka bersama-sama ratusan penduduk lain yang menanti pintu pagar klinik dibuka untuk mendapatkan rawatan walaupun telah dimaklumkan klinik akan dibuka pada keesokan harinya.
AIR banjir terpaksa digunakan untuk keperluan harian ekoran tiada sumber air lain.


Sementara itu, tidak menolak aspek kesesakan, kebersihan dan pencemaran, pengkaji dari Universiti Florida, Amerika Syarikat, Afsar Ali, berkata komuniti yang tinggal di sepanjang perairan Haiti terdedah kepada risiko dijangkiti taun.
"Air payau boleh menjadi kawasan pembiakan bakteria. 

"Seperti yang kita tahu, khemah besar tersebut terletak sangat hampir dengan sungai dan muara. Saya berpendapat ini adalah tempatnya di mana wabak taun membiak, bukannya di bandar.


Wabak taun merupakan penyakit yang tertumpu pada saluran penghadaman akibat daripada jangkitan bakteria vibrio cholera.
Ia berlaku apabila kuman taun daripada pesakit atau pembawa menjangkiti individu sihat melalui mulut selepas mengambil makanan atau minuman yang tercemar.

Tiada ulasan: