Selasa, November 30, 2010

Anak mahu Bapak selesai segera isu peneroka

SUMBER
Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 29 Nov: Gabungan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini menyerahkan 20 kes pertama yang ada pada mereka kepada Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak).

Penyerahan tersebut dibuat Pengerusi Anak, Mazlan Aliman kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, Datuk Ahmad Maslan di parlimen hari ini.

Dalam sidang medianya, Mazlan mahu kesemua aduan peneroka yang diserahkan itu diselesaikan segera seperti dijanji timbalan menteri itu sebelum ini kerana kesemua kes tersebut sudah lama berlaku.

"20 aduan ini hanya sebahagian kecil dari aduan yang banyak kita terima yang berkait langsung dengan dasar Felda.
"Kita harap mampu dikendalikan oleh Bapak," katanya.
Turut serata pada penyerahan itu, beberapa wakil dari peneroka Felda Lawin Selatan, Perak.

Antara masalah yang dikemukakan termasuklah isu peneroka yang disingkir, isu hutang dengan Felda sehingga mencecah RM80 ribu dalam masa 7 tahun, dan permasalah pembahagian pusaka oleh generasi kedua Felda.

Ahmad pada sidang media sama memberi jaminan akan meneliti masalah yang dikemukakan Anak itu dan akan memanjangkan perkara itu kepada Bapak.

Menurutnya, dengan tambahan 20 aduan dari Anak itu, Bapak kini sudah menerima 658 aduan sejak ditubuhkan.

Bapak adalah sebuah biro yang ditubuh dibawah NGO, Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang dipengerusikan Tan Sri Rozali Ismail.

Tiada ulasan: