Skandal PKFZ: Ramai diheret
Oleh Saufi Hamzah dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my
STEPHEN Abok dan Tan (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Klang selepas mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan jumlah wang RM5.417 juta. |
PUTRAJAYA: Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) belum ditutup dan ramai lagi individu akan didakwa, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Beliau berkata, pendakwaan terhadap tiga orang semalam, termasuk bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Phang Oi Choo, bukan penghujung kepada skandal berkenaan tetapi ia cuma satu permulaan.
2-Turut didakwa di mahkamah sama, Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, Stephen Abok, 51,
3- dan seorang arkitek, Bernard Tan Seng Swee, 48, berhubung dua tuduhan membuat tuntutan palsu RM5.417 juta. Tan juga didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, membuat 24 lagi tuntutan palsu bernilai RM116.85 juta. Ketiga-tiga tertuduh tidak mengaku salah.
Pada sidang media di pejabatnya di sini, Abdul Gani berkata, seorang jurutera anak syarikat Kuala Dimensi, Law Jenn Dong, pula akan didakwa Isnin ini di mahkamah sama.
PHANG dibenar ikan jamin RM350,000 dengan seorang penjamin. |
Ditanya kemungkinan individu lain seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi, Datuk Seri Tiong King Sing dan bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy, akan turut didakwa, beliau berkata:
"Siasatan sedang dijalankan terhadap individu lain. Saya tidak boleh berikan butiran kerana siasatan sedang dijalankan. Lagipun banyak aspek siasatan dijalankan seperti jenayah komersial, penyelewengan, wang haram dan salah guna kuasa."
Di KLANG, Hakim Mahkamah Sesyen Yong Zarida Sazali membenarkan Phang diikat jamin sebanyak RM350,000 dengan seorang penjamin. Suami tertuduh, Datuk Lim Twee Yong, membayar jaminan itu.
Phang yang memakai baju biru muda, didakwa mengikut Sekyen 409 Kanun Keseksaan atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap dana dalam akaun perbelanjaan di RHB Bank Berhad, Plaza OSK, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 Oktober 2004 hingga 9 Mei 2006 di premis LPK di Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
Terdahulu, Ketua Unit Pelucuthakkan Harta dan Pengubahan Wang Haram, Datuk Dzulkifli Ahmad, menawarkan jaminan sebanyak RM2 juta kepada Phang dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Ng Aik Guan, membantah dengan alasan jumlah jaminan itu bersifat menghukum tertuduh sebelum perbicaraan dijalankan.
Ng berkata, anak guamnya juga sepatutnya ke Amerika Syarikat pada 14 Disember ini hingga 9 Januari depan.
Sementara itu, Stephen dan Tan didakwa mengikut Seksyen 420 kanun sama atas tuduhan membuat tuntutan palsu dengan memperdaya LPK untuk mempercayai kerja pemasangan infrastruktur elektrik bagi sistem 33kv ke Precint 2 dan 8 projek PKFZ di Pulau Indah sudah dilaksanakan sehingga mendorong LPK mengesahkan pembayaran kepada Kuala Dimensi.
Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu pada 31 Julai dan 28 September 2007.
Tan yang menghadapi 24 tuduhan lain bersama seorang lagi individu, melakukan kesalahan sama antara 30 Jun 2006 hingga 30 Mei 2008.
Pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan Hashley Tajudin manakala Stephen diwakili Tan Hock Chuan dan Tan oleh George Vanghese.
--------------------------
Skandal PKFZ: Tiga didakwa
KLANG 10 Dis. - Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Oi Choo Phang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB), Stephen Abok, 51, iaitu syarikat pemaju projek tersebut dan arkitek, Bernard Tan Seng Swee, 48, dari syarikat perunding BTA Architect turut didakwa atas tuduhan menipu.
Choo Phang, 63, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan wang RM254.85 juta milik lembaga tersebut dalam satu akaun di RHB Bank Bhd. di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di sini antara 1 Oktober 2004 dan 13 Januari 2006.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.
Sementara Abok dan Seng Swee masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menipu LPK membabitkan tuntutan sebanyak RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.
Kedua-duanya didakwa memperdayakan LPK untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precinct 2 dan Precinct 8 bagi PKFZ di Pulau Indah telah dilaksanakan.
Perbuatan itu telah mendorong LPK mengesahkan pembayaran tersebut kepada KDSB sedangkan mereka tahu bahawa kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.
Bagi kedua-dua pertuduhan, Abok dan Seng Swee didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.
Pada prosiding hari ini, Seng Swee bersama seorang yang belum dituduh turut mengaku tidak bersalah terhadap 24 lagi pertuduhan menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116,850,000 kepada syarikat KDSB.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad bersama dua Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup dan Hashley Tajudin.
Choo Phang diwakili peguam Ng Aik Guan manakala Seng Swee diwakili oleh George Varghese dan peguam Tan Hock Chuan mewakili Abok.
Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan Choo Phang diikat jamin RM350,000 dengan seorang penjamin manakala Abok dan Seng Swee masing-masing RM200,000 dan RM250,000.
Kes Choo Phang akan disebut semula pada 12 Januari ini manakala kes membabitkan Abok dan Seng Swee pada 4 Februari ini.
Projek PKFZ yang dibina di satu kawasan seluas 400 hektar sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.
Berikutan itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang mengadakan satu siasatan telah memperakukan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat Choo Phang serta bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy.
Jawatankuasa itu juga mendapati ada beberapa perkara yang dibuat tanpa mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.
LPK telah mengemukakan saman bernilai lebih RM1 bilion terhadap KDSB dan BTA Architect selain menyaman Choo Phang kerana penyelewengan tugas serta beberapa akaun KDSB telah dibekukan.
Kerajaan turut menubuhkan satu pasukan petugas diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan untuk memulihkan projek itu.
-----------------------------------------
yusz felda : Pecah Amanah ini memang berlawanan sifat Nabi saw.. sebab itu tiada kebaikan padanya bahkan mendatangkan bala bencana kepada Umat Islam mahupun umat dalam Negara Islam.. duit negara tiada berkat.. banyak lagi orang miskin dan menderita perlu duit.. kita tidak terkejut duit negara hilang kerana Islam tidak diutamakan!
Bila akan selesai? Apakah ia menimbulkan rasa takut kepada orang ramai, atau orang ramai pun akan mencuba pulak..
selagi tak dikesan, selagi itu kita makan! Ha ha ha..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan