PERTEMUAN KETUA PEMUDA PAS DENGAN KU LI...
http://pemuda.pas.org.my/v2/
AMPANG, 24 Dis: Veteran Umno, Tengku Razaliegh Hamzah berpendapat golongan muda wajar diberi peluang berperanan dalam pelbagai bidang untuk lebih berdaya saing dan bukannya menumpukan bidang politik semata-mata. Ianya kerana, dunia zaman sekarang memerlukan kepakaran dalam semua lapangan dan pemuda harus bersedia memenuhi tuntutan tersebut. "Orang muda patut diberi empowerment (diperkasa), berperanan dalam banyak hal bukan sahaja politik, tetapi juga pentadbiran, perusahaan dan sebagainya," katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang. Tengku Razali atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li, berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ahli Jawatan Kuasa Dewan Harian, Pemuda PAS Pusat di kediaman beliau di sini semalam. Kunjungan hormat tersebut bertujuan mendapat pandangan dan gambaran lebih jelas dari beliau berhubung beberpa perkara yang sedang berlaku dalam negara. Antara yang dibincangkan dalam pertemuan hampir satu setengah jam itu menyentuh isu ekonomi negara, royalti Kelantan dan peranan pemuda pada kacamata beliau. Dalam isu ekonomi, beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, kerajaan sewajarnya memikirkan bukan sahaja untuk meningkatkan pendapatan negara semata-mata, malah untuk menampung keperluan rakyat dan dunia. Kerajaan juga katanya perlu mempelbagaikan sumber pendapatan, dan tidak harus bergantung hanya kepada Petronas semata-mata. Keadaan persekitaran ekonomi negara juga katanya tidak mesra pelabur sehingga beliau menyifatkan pelabur semakin hilang minat terhadap Malaysia. "Nampaknya (pelabur) dari luar negara minat tidak ada, barangkali keyakinan terhadap dasar-dasar kerajaan tidak begitu meyakinkan. Dalam negara sendiri pun punca amat kurang dan mungkin kerana pelabur kurang yakin dengan apa yang berlaku, dari segi korupsinya, keselamatnnya, sosialnya.. "Sebab itu rakyat kita lebih selesa melabur pada tempat yang terjamin keselamatannya, itu yang kita kena fikir," katanya lagi. Beliau juga memberitahu sedang mengkaji bagaimana kaedah untuk meningkatkan pendapatan rakyat lebih tinggi agar dapat menahan inflasi yang berlaku. Ianya termasuklah mencari penyelesaian bagaimana untuk menaikkan nilai ringgit Malaysia seperti dahulu. Berhubung isu royalti pula, beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas sekali lagi memaklumkan bersetuju memenuhi hasrat kerajaan Kelantan untuk hadir memberi penerangan kepada rakyat negeri itu. Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan mana-mana pihak bahawa beliau sedang diperalatkan oleh parti politik tertentu berhubung oerkara itu. "Saya tidak menjadi alat politik mana-mana pihak, saya hanya menjadi alat kepada rakyat, saya hanya mahu menyatakan kebenaran," jelasnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan