Sabtu, Disember 31, 2011

Zakat: Jawapan Jamil Khir ditunggu>> KENAPA TU SENATOR??

SUMBER | Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 Dis: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sewajarnya tampil menamatkan sebarang keraguan berhubung isu wang zakat untuk membiayai kos guaman.
“Saya tegaskan semalam bahawa janganlah beliau berselindung di sebalik pegawai kerajaan.

“Saya difahamkan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin telah menasihatkan Jamil untuk mengeluarkan kenyataan rasmi,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurutnya, mungkin ada yang menganggap RM63,650 itu kecil berbanding skandal-skandal seperti PKFZ (RM12 bilion) dan NFC (RM250 juta).

Namun, katanya isu itu membabitkan wang zakat yang merupakan salah satu rukun Islam yang penting.
Katanya, ketika pihak berkuasa setiap tahun berbangga dengan kadar kutipan zakat dan menggesa umat Islam membuat bayaran zakat menerusi agensi zakat yang rasmi, Jamil ada tanggungjawab untuk menjernihkan keadaan.

Justeru, katanya lagi PKR akan membuat laporan polis pada minggu depan sekiranya tiada penjelasan yang munasabah tentang percanggahan ini.

Begitupun, beliau mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali di atas penjelasan beliau tentang penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom, Che Mat sendiri dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain.
Che Mat menganggap isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat itu berbaur politik.
Semalam Muhammad Yamin Ismail menyatakan pembiayaan kos guaman itu bagi menghadapi permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan geran kerajaan.
Namun, kata Nazmi jawapan Che Mat dan Muhammad Yamin bercanggah dengan beberapa pihak yang tiada kaitan dengan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, pada 21 Jun 2011, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (timbalan Jamil sendiri) mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution di dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Parlimen.

Pada 23 Jun 2011 peguam Zainul Rijal Talha dan Amir meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan tentang penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman.

Pada 21 November 2011, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010.

Ini, kata Nazmi lagi memandangkan geran kerajaan tidak dapat menampung pembayaran yuran guaman tersebut.
Namun, ujarnya sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun 2010, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.
“Saya juga berharap Che Mat menjawab persoalan yang dibangkitkan YB Saifuddin Jun lalu bagaimana tentang kesahihan prosedur yang digunakan memandangkan beliau yang memohon peruntukan kos guaman tersebut dan beliau juga, selaku Setiausaha MAIWP yang meluluskannya,” katanya lagi.

Tiada ulasan: