Isnin, Disember 12, 2011

Permohonan cabar Akta Perhimpunan ditangguh Khamis ini >> TAKBEERRR

Written by Harakahdaily  
KUALA LUMPUR, 12 Dis: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) pagi ini menangguhkan keputusan bagi permohonan PAS mencabar Akta Perhimpunan Aman 2011 ke Khamis ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Rohana Yusof atas permintaan timbalan pendakwa raya kanan Muzila Mohamed Arsad.

Hakim dimaklumkan oleh Muzila bahawa responden tidak bersedia kerana beberapa timbalan pendakwa raya persekutuan terpaksa menghadiri sebuah persidangan dari 7 hingga 10 Disember lalu.

Pada 2 Disember lalu, PAS melalui Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Bendahari PAS Dr Hatta Ramli dan ahli jawatankuasa pusatnya, Dr Dzulkefly Ahmad telah memfailkan saman tersebut.

Mereka diwakili oleh peguam Mohamad Hanipa Maidin yang dibantu oleh Aminuddin Zulkifli dan Ahmad Zambri As'ad Khuzami.

Dalam saman itu mereka telah menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai responden pertama manakala kerajaan Malaysia dinamakan responden kedua.

Mohamad Hanipa sebelum ini memaklumkan, tujuan saman itu difailkan adalah untuk melakukan semakan kehakiman terhadap rang undang-undang tersebut dan bagi mendapatkan tiga perintah dari mahkamah.

Pertama adalah perintah deklarasi bahawa responden-responden telah bertindak melebihi kuasa mereka dan telah menyalahgunakan kuasa mereka apabila memperkenalkan dan membentangkan rang undang itu di Parlimen bagi menjadikannya sebagai undang-undang atau akta, meskipun bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) dan 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Perintah kedua, bagi melarang responden-responden daripada terus bertindak melebihi kuasa mereka dan menyalahgunakan kuasa mereka dengan melarang responden-responden meneruskan segala proses bagi menjadikan rang undang-undang itu sebagai akta yang boleh dikuatkuasakan. 

Ketiga, secara alternatif, perintah mandamus bagi memaksa responden-responden mengambil langkah-langkah yang perlu dan wajar untuk sama ada menarik balik semula rang undang-undang itu atau membuat pindaan-pindaan yang perlu agar selaras dengan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: