Jumaat, November 26, 2010

Tubuh badan bebas siasat polis tembak remaja PADA 13 NOV LALU!!!

SUMBER
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 25 Nov: Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa menggesa kerajaan menubuhkan badan bebas bagi menyiasat anggota polis yang terlibat dalam kes menembak mati tiga remaja pada 13 November lalu.

Sivarasa berkata, ianya perlu ditubuhkan segera bagi membersihkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kes ini bukan terpencil kerana apa yang sangat mendukacitakan sejak 1998, tiada seorang anggota polis telah dihukum ke atas kejadian yang berlaku.

"Sekiranya terus berlanjutan, anggota polis berasa boleh buat apa-apa sahaja tanpa dikenakan sebarang hukuman terhadap mereka," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, usul yang dikemukakan beliau pada Selasa lalu ditolak Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk dibahaskan.

Menurut Sivarasa, terdapat percanggahan keterangan maklumat polis tentang kejadian tembak menembak itu yang menjurus kepada tindakan polis mempertahankan diri.

"Ini kerana saya telah meneliti laporan polis oleh Nor Hafizah Mad Razali iaitu ibu kepada Muhammad Shamil Hafiz, 15, dan keluarga Mohd Hairul Nizam, 20, mendakwa tembakan peluru dilakukan pada jarak dekat oleh polis.
"Ibunya juga mempercayai dibunuh dengan sengaja oleh polis kerana tembakan di dahi menembusi hingga ke bahagian kepala Shamil.

"Mereka juga terkejut dengan dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan tentang anaknya penjenayah ganas yang dikehendakai sedangkan tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.

Dalam kejadian 13 November lalu, polis menembak mati tiga lelaki yang didakwa baru sahaja merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1 Glenmarie, Subang kira-kira jam 4.15 pagi ketika sedang membuat rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.

Tiada ulasan: